TV3 genap 41 tahun pada 1 Jun 2025, terus unggul sebagai stesen TV nombor satu negara. Sejak 1984, TV3 bukan sahaja menjadi sumber hiburan rakyat Malaysia, malah mencipta fenomena drama seperti Nur Kasih, 7 Hari Mencintaiku, Melur Untuk Firdaus, hingga Aku Bukan Ustazah dan Anak-Anak Mafia.
Bertemakan 41 Tahun Penuh Drama, TV3 melancarkan pelbagai inisiatif menarik. Antaranya, kerjasama eksklusif dengan MPH Bookstores di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL) menerusi Pakej Drama Sangat dua novel adaptasi drama popular dan langganan TontonUp percuma pada harga RM59. Pengunjung yang berbelanja RM150 ke atas juga boleh menebus baucar TontonUp percuma (terhad kepada 500 penebusan).
TV3 turut menayangkan semula drama-drama ikonik seperti 7 Hari Mencintaiku 2, Nur Kasih, dan Nur, serta menganjurkan sesi Meet & Greet bersama pelakon drama popular. Kemunculan selebriti seperti Mierul Aiman, Scha Elinnea, MK K-Clique dan ramai lagi turut memeriahkan pentas utama sepanjang sambutan ulang tahun ini.

Projek istimewa Dari Layar ke Lensa pula menyaksikan empat selebriti terkenal Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim buat pertama kali mengarah cerekarama khas sepanjang Julai 2025, menampilkan perspektif dan kreativiti mereka sebagai pengarah.
TV3 juga memperkenalkan Pencarian Pelakon Drama Sangat dan Pitch Story Anda ke TV3, membuka peluang kepada bakat baharu dalam lakonan dan penulisan. Uji bakat akan diadakan di Universiti Malaya dan Taylor’s University dengan hadiah keseluruhan RM9,000 untuk idea terbaik.
Dalam dunia penyiaran berita, sembilan wajah baharu diperkenalkan sebagai penyampai Buletin TV3, termasuk hasil daripada ujibakat terbuka melibatkan hampir 800 peserta. Ini selari dengan usaha TV3 melahirkan pelapis yang dinamik dan profesional.
Menambah warna sambutan, kolaborasi eksklusif TV3 bersama Ernie Zakri dilancarkan menerusi bundle edisi terhad TV3 X Ernie Zakri hijab eksklusif dan tote bag rekaan khas bernilai RM99, terhad kepada 2,000 unit sahaja.
41 tahun bukan sekadar angka, tetapi simbol dedikasi dan cinta TV3 kepada penonton. TV3 komited untuk terus menyajikan kandungan berkualiti, membina bakat baharu dan menjadi platform utama yang menyatukan rakyat Malaysia. Untuk info lanjut dan kemas kini terkini, ikuti @TV3Malaysia di media sosial dan @dramasangat di Instagram. – Tehtariktimes