Dr. Alban Gegar KL Buat Kali Pertama – Konsert Rewind 90an

Legenda muzik Eurodance, Dr. Alban, bakal menggegarkan Kuala Lumpur buat pertama kali menerusi konsert istimewa Rewind & Play Experience. Acara ini dianjurkan oleh Mojo Projects dan Tuff & Loud.

Konsert yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung pada Jumaat, 23 Mei 2025, jam 8 malam, bertempat di Zepp Kuala Lumpur. Penonton akan disajikan dengan lagu-lagu ikonik seperti “It’s My Life” dan “Sing Hallelujah”, yang pernah menguasai carta muzik antarabangsa era 90-an.

Lebih daripada sekadar persembahan, Rewind & Play Experience menjanjikan sebuah malam yang penuh dengan hiburan interaktif dan elemen nostalgia. Antara tarikan lain termasuk persembahan DJ retro, zon aktiviti bertemakan 90-an, serta visual kreatif yang membangkitkan semula semangat zaman itu.

Menurut Ratna K. Nadarajan, Ketua Pegawai Eksekutif Mojo Projects, acara ini adalah bentuk penghargaan terhadap pengaruh besar muzik Eurodance dalam budaya pop.

“Kami mahu cipta pengalaman menyeluruh, bukan sekadar konsert. Kami mahu bawa penonton kembali ke era yang penuh tenaga dan gaya,” katanya.

Konsert ini juga meraikan lebih tiga dekad sumbangan Dr. Alban dalam industri muzik dan kejayaannya menambat hati peminat merentasi generasi.

Dalam mesej khas kepada peminat Malaysia, Dr. Alban berkata:

“Saya sangat teruja untuk kembali ke Asia, terutamanya Kuala Lumpur. Bersedialah untuk malam yang tidak akan dilupakan—penuh muzik, nostalgia dan kasih sayang.”

Dengan gabungan muzik, kenangan dan elemen visual era 90-an, Rewind & Play Experience dijangka menjadi acara paling dinanti peminat muzik retro pada tahun ini.-Tehtariktimes

Maklumat lanjut boleh didapati di Mojo Projects