Konsert sulung kumpulan DOLLA yang berlangsung pada 3 Ogos di Zepp Kuala Lumpur telah menjadi detik bersejarah dalam perjalanan seni kumpulan wanita ini, memukau peminat dengan persembahan yang penuh tenaga dan karisma.
Dalam suasana penuh meriah dan dibanjiri oleh lebih 3000 peminat setia yang dikenali sebagai iDolla, DOLLA yang terdiri daripada Angel, Sabronzo, dan Tabby, berjaya memukau hadirin dengan persembahan yang luar biasa.
Membuka tirai sekitar jam 8.30 malam, Dolla terus memeriahkan pentas sambil diiringi sokongan dari peminat. Koreografi yang kompleks dan konsep pertunjukan yang matang telah mengangkat pengalaman konsert ini ke tahap yang seterusnya.
Konsert DOLLA RE: BIRTH THE EXPERIENCE bukan sekadar sebuah pertunjukan, tetapi juga manifestasi kebangkitan industri muzik Malaysia yang semakin dinamik. Kumpulan ini telah membuktikan bahawa artis tempatan mempunyai potensi dan kemampuan untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Diiringi kugiran dengan susunan muzik yang padu, kumpulan itu menyanyikan semua lagu hit mereka termasuk Bad, Fight, Dolla Make You Wanna, Drip, Best Side, Look At This, Damelo, Masa, Impikan, Sudi, Berani, Classic, Boss Up, Here 4U.
Dalam pada itu, Dolla turut berasa sungguh terharu apabila impian mereka untuk mengadakan konsert sulung akhirnya menjadi kenyataan berserta dengan sokongan peminat mereka yang sangat luar biasa.
Di penghujung konsert Dolla menerima kejutan apabila peminat menyediakan video khas ucapan yang cukup menyentuh hati.
Universal Music Malaysia berbangga dengan mereka dan berharap peminat, pendengar, dan penyokong akan menikmati malam yang penuh dengan muzik DOLLA.