Dalam usaha mengangkat semula karya malar segar ke dimensi baharu, penyanyi muda berbakat Didie Shazry tampil dengan sebuah remake lagu ikonik berjudul “Yang Berlalu Tak Berulang” dalam versi terbaharu. Projek ini memberi nafas segar kepada karya klasik yang pernah meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan peminat muzik tanah air.
Didie Shazry atau nama sebenarnya E.D Shazry merupakan penyanyi berasal dari Sabah yang memiliki tona suara yang merdu dan penuh emosi. Beliau mula dikenali secara meluas selepas dinobatkan sebagai juara program Astro Raise The Star dan turut terpilih untuk mempersembahkan karya komposer Aina Abdul pada peringkat akhir pertandingan tersebut. Sebelum bergiat aktif dalam industri seni, Didie juga pernah menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Projek rakaman semula “Yang Berlalu Tak Berulang” diterbitkan oleh Luncai Emas sebagai pemegang hak cipta dengan tujuan menghidupkan semula karya klasik agar lebih dekat dengan cita rasa pendengar masa kini. Ia turut mendapat persetujuan daripada komposer asal, Neves dari Pretty Ugly, yang memberi ruang kepada Didie untuk menyampaikan lagu ini dengan gaya vokal tersendiri tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Menurut komposer Neves, lagu ini pada asalnya dipopularkan oleh mendiang Lotter, manakala liriknya ditulis oleh Allahyarham Loloq. Kedua-dua figura seni ini dianggap sebagai insan berpengaruh dalam dunia muzik tanah air. Neves turut menyatakan penghargaan terhadap usaha Didie yang berjaya menghidupkan semula emosi dalam lagu tersebut dan memastikan legasi karya ini terus kekal bernyawa.
Didie pula berkongsi bahawa lagu ini cukup dekat di hatinya sejak kecil kerana ia pernah dipopularkan oleh penyanyi dari Sabah yang amat dihormati. Beliau mengakui membesar dengan lagu-lagu seperti ini dan keluarganya juga merupakan peminat setia karya tersebut. Lebih bermakna, projek ini turut mempertemukan beliau dengan dua figura seni yang menjadi inspirasinya iaitu komposer Neves dan penulis lirik Allahyarham Loloq dalam satu karya yang sama.
Didie sebelum ini juga pernah tampil dengan lagu berentak joget kontemporari berjudul “Joget Jiwa Lara” menerusi album kompilasi Joget Made In Malaysia terbitan Luncai Emas. Album tersebut turut menampilkan barisan artis lain seperti Amir Jahari, Kmy Kmo & Luca Sickta, Jaclyn Chia dan Puteri Khareeza, menjadikan ia antara projek yang meraikan kepelbagaian bakat tempatan.
Proses rakaman “Yang Berlalu Tak Berulang” dilakukan di Jakarta bersama produser Joel Christine dan Didie sendiri. Susunan muzik serta melodi lagu ini diolah semula sepenuhnya agar selari dengan identiti vokal Didie tanpa menghilangkan elemen nostalgia asal. Proses adunan dan mastering pula dilakukan oleh Josecar Q.M Hutabarat di ICM Studio, Indonesia.
Penggambaran video muzik bagi lagu ini turut dijalankan di Bali, Indonesia di bawah arahan Alfi Aditya, yang menampilkan visual sinematik seiring dengan emosi lagu. Gabungan lokasi dan penceritaan visual ini memberi dimensi baharu kepada karya klasik tersebut.
Single remake “Yang Berlalu Tak Berulang” ini diharapkan dapat menyentuh hati pendengar lama dan baharu, selain menjadi pengingat tentang kenangan serta insan tersayang. Lagu ini mula ditayangkan di YouTube Luncai Emas pada 24 April jam 4 petang serta boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.











