Dayang Nurfaizah Curi Tumpuan di Minggu Kedua Pentas Calpis Soda One In A Million

Pentas Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) minggu kedua terus memukau dengan kehadiran penyanyi tersohor, Dayang Nurfaizah, yang tampil membawakan dua lagu ikoniknya, Hakikat Cinta dan Lemah. Setelah 15 tahun tidak berada di pentas berprestij ini, kemunculan Dayang menghidupkan suasana dengan persembahan penuh emosi dan menyuntik semangat kepada barisan Top 14 dalam episod kedua yang disiarkan Ahad lalu.

Dayang berkongsi pengalaman dan pesanan bermakna kepada para peserta, “Walaupun sudah lama menyanyi, saya tetap merasa gemuruh setiap kali berada di pentas OIAM, apatah lagi di hadapan bakat-bakat hebat ini. Pesanan saya, nikmati setiap saat di atas pentas dan berikan sepenuh tenaga seolah-olah ia adalah persembahan terakhir anda.” Beliau turut menekankan kepentingan persiapan mental, terutama dalam era media sosial yang sering memberi tekanan. “Abaikan komen negatif dan fokus untuk memperbaiki diri. Jangan terlalu bergantung kepada pendapat orang lain, kerana ia boleh mengganggu konsentrasi anda dalam pertandingan ini,” tambahnya.

Minggu kedua menyaksikan suasana penuh emosi apabila empat peserta berbakat, iaitu Trio XL, Dhania, Erfarina, dan Aniq Iffat, terpaksa meninggalkan pertandingan. Walaupun persembahan mereka menerima pujian, saingan sengit daripada peserta lain menyebabkan mereka terpaksa akur dengan keputusan. Dedikasi dan usaha mereka tetap dihargai, mencerminkan semangat juang yang tinggi dalam pertandingan ini.

Gelaran peserta paling ‘FIZZ’ minggu ini diberikan kepada Jimi, yang memukau dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Di Penjara Janji. Dengan kekuatan vokal dan keaslian dalam penyampaian, Jimi bukan sahaja berjaya memikat juri, tetapi juga membuka peluang keemasan untuk berduet bersama penyanyi terkenal, Aina Abdul, pada minggu hadapan.

Episod seterusnya menjanjikan persaingan sengit apabila 10 peserta yang tinggal bakal mendendangkan lagu berdasarkan tema “Rasa Paling Indah”. Para peserta yang akan beraksi ialah Rezza Shah, Mariam, Alya Mardien, Kai Deva, Zazzleen, Marygrace, Jimi, Dayangku Iffah, Hafiz Zainal, dan Eylia Guntabid. Undian peminat memainkan peranan penting, dengan 40% skor ditentukan oleh penonton, manakala baki 60% ditentukan oleh juri profesional.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung setiap Ahad, jam 9.00 malam di TV3, atau strim dalam resolusi HD di Tonton. Selain hiburan hebat, penonton berpeluang memenangi hadiah lumayan, termasuk sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000!

Untuk pengalaman lebih dekat, saksikan Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam, yang memaparkan sorotan eksklusif perjalanan peserta. Ikuti perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk menjadi sebahagian daripada fenomena luar biasa ini.