Daus Eli Kembali dengan Single Penuh Makna Berjudul ‘Terukir’

Nama yang sudah sinonim dalam industri muzik Malaysia, Daus Eli, kembali memukau peminat dengan single terbaharunya bertajuk Terukir. Lagu kelima dalam diskografi beliau ini menandakan kolaborasi sulung bersama Alternate Records & Talents, mencipta dimensi baharu dalam perjalanan seni Daus.

Mengangkat tema cinta sejati, Terukir bukan sekadar lagu romantis. Ia menggabungkan elemen keikhlasan, kerohanian, dan penghayatan cinta yang mendalam. Dengan bait-bait lirik seperti “Kan ku terima cintamu di atas nama-Nya” dan “Selagi kau selalu ada, terbit rasa cinta”, karya ini memberikan interpretasi unik tentang cinta yang bersandarkan nilai-nilai ketuhanan.

Daus Eli menjelaskan bahawa proses penghasilan lagu ini memakan masa dua bulan, merangkumi pelbagai aspek seperti susunan muzik, rakaman vokal, serta proses mixing dan mastering. “Saya terlibat secara langsung sebagai komposer dan penulis lirik bersama Syed Asyraf. Pengalaman ini amat bermakna, dan saya berharap mesej lagu ini dapat menyentuh hati setiap pendengar,” ujar Daus.

Lagu bergenre Pop Catchy-Reggae ini menawarkan irama ceria yang mampu menjadi mood booster, namun tidak mengabaikan elemen emosi yang mendalam. Melalui tema cinta yang matang dan tulus, Terukir berpotensi menarik perhatian pendengar daripada semua peringkat usia.

Bagi Daus Eli, atau nama sebenarnya Muhammad Shahril Firdaus, perjalanan 14 tahun dalam industri hiburan sejak kemunculan beliau melalui sebuah rancangan realiti pada 2010 bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau terus melangkah maju untuk mewarnai industri muzik tempatan.

“Lagu ini membawa harapan besar buat saya, bukan sahaja untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri, tetapi juga untuk mencipta ikatan emosi yang lebih mendalam dengan peminat. Saya ingin Terukir dikenang sebagai lagu yang memberikan makna,” jelasnya.

Inspirasi di sebalik Terukir hadir daripada momen santai bermain gitar dan perbualan biasa, dengan sentuhan idea lafaz janji pernikahan serta kisah cinta abadi Nabi Adam dan Hawa. Kisah ini diterjemahkan ke dalam lirik puitis seperti “Segalanya terukir sehingga terpisahnya jasad dan sifat”.

Syed Asyraf, rakan kolaborasi Daus, menyatakan bahawa lagu ini mengingatkan pendengar bahawa setiap perjalanan hidup dan cinta kita sudah tertulis oleh Yang Maha Esa. Ia juga membawa mesej penting untuk sentiasa yakin dan menerima takdir dengan hati yang terbuka.

Daus turut berkongsi cabaran menyampaikan tema unik ini agar dapat diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. “Menghasilkan sesuatu yang berbeza adalah cabaran utama. Saya mahu Terukir menjadi lebih daripada sekadar lagu, tetapi karya yang memberi kesan berpanjangan,” katanya.

Dengan lirik yang puitis, melodi yang menyentuh, dan mesej yang mendalam, Terukir meraikan cinta, kesetiaan, dan keindahan hubungan yang bermakna. Lagu ini sudah tersedia di platform seperti Spotify, iTunes, dan YouTube Music, menanti untuk dinikmati oleh pencinta muzik.

Ikuti perkembangan terkini Alternate Records & Talents melalui Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_) untuk lebih banyak kandungan menarik.