Nama Wani Kayrie bukan asing dalam industri muzik tanah air, namun pada tanggal penuh bersejarah ini, penyanyi berbakat besar ini tampil dengan sisi yang jauh lebih dewasa dan matang menerusi pelancaran EP sulungnya bertajuk “W2K”. Bertempat di MyTOWNKL dan bersempena Wani Kayrie Listening Party anjuran Rocketfuel Entertainment serta ASR Festival oleh Ascott, detik ini menjadi simbolik kepada perubahan besar dalam hala tuju seni Wani.
Majlis pelancaran yang diserikan dengan kehadiran media, rakan industri serta peminat setia ini turut memperkenalkan single terbaharunya berjudul “Biarkan” sebuah balada yang menggugah perasaan tentang cinta yang terpaksa dilepaskan demi ketenangan jiwa. Lagu ini bukan sekadar karya, tetapi juga cerminan transformasi emosi dan kematangan muzik Wani yang kini berani membawa naratif yang lebih jujur dan mendalam.
“EP ini saya hasilkan untuk semua yang sentiasa percaya dan menunggu karya penuh dari saya,” ujar Wani dengan penuh rasa syukur. Beliau turut mengakui “W2K” adalah manifestasi impian yang sekian lama terbuku dan akhirnya menjadi nyata selepas lebih sedekad dalam industri. Kepelbagaian genre serta eksperimen sonik menjadikan EP ini unik dan mewakili warna sebenar dirinya sebagai seorang artis Gen Z.
Menurut Wani, pemilihan nama “W2K” bukan sekadar singkatan kreatif. Ia membawa makna sentimental kerana dirinya lahir tahun 2000, dan tajuk tersebut menjadi simbol generasi, keberanian dan sisi baharunya yang ingin lebih bebas dalam berkarya. Dari gaya muzik ke visual, Wani menggabungkan elemen nostalgia Y2K dan trend masa kini, menjadikan “W2K” sebuah karya yang relevan dan dekat dengan jiwa anak muda masa kini.

EP ini menampilkan lima buah lagu berjudul Cak Cak Cekuk, Serius Ah, Aiman Tino, Matahari dan Biarkan, hasil kolaborasi bersama barisan nama besar seperti MFMF, Ezra Kong, Iqie Hugh, Omar K dan ramai lagi. Setiap lagu menggambarkan mood dan getaran yang berbeza – menjadikan keseluruhan EP sebagai pengalaman muzik yang pelbagai dan segar. “Lagu kegemaran saya adalah Cak Cak Cekuk kerana ia penuh semangat dan memperjuangkan budaya dalam nada pop yang moden,” jelasnya.
Single “Biarkan” pula membawa pendengar ke sisi yang lebih emosional dan personal. Mengisahkan tentang keikhlasan melepaskan cinta yang tidak berpihak, Wani menyifatkan lagu ini sebagai sangat mencabar dari segi vokal dan emosi. “Saya perlu rakam lagu ini dalam beberapa sesi berbeza, tapi tetap kena kekalkan feel yang sama. Sangat mencabar, tapi hasilnya sangat memuaskan.”
Melalui EP ini, Wani Kayrie jelas ingin menandakan kematangan seninya. Dari kemunculan awalnya menerusi lagu Jangan Jangan sehingga ke hari ini, “W2K” adalah lambang keberanian untuk melangkah ke fasa baharu lebih yakin, lebih jujur dan lebih berani. Reaksi awal daripada peminat sangat positif dan ramai memuji kepelbagaian muzik serta keaslian emosi dalam setiap trek.
“Saya harap W2K bukan sahaja menjadi hiburan, tetapi sumber inspirasi buat semua anak muda. Kalau saya boleh capai impian saya, anda pun boleh. Percaya pada diri sendiri dan terus kejar impian anda,” pesan Wani sambil menutup sesi sidang media dengan senyuman penuh makna.
EP “W2K” dan single “Biarkan” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama. Ikuti Wani Kayrie dan Rocketfuel Entertainment di media sosial untuk perkembangan lanjut dan konten eksklusif! – Tehtariktimes