Syafiq, yang sebelum ini dikenali sebagai Ustaz Adam dalam drama Nur, kini tampil berbeza menerusi watak Ariff dalam Blood Brothers. Menyertai sebuah organisasi pengawal keselamatan, transformasi ini memperlihatkan sisi lakonan yang lebih mendalam dengan elemen aksi dan emosi yang kuat. Filem ini mengupas konflik keluarga, hubungan adik-beradik yang diuji oleh pengkhianatan serta pengorbanan, selain menampilkan dinamika antara pekerja dan majikan. Ketaatan dalam dunia penuh ancaman bukan sekadar tanggungjawab, tetapi juga satu ujian terhadap prinsip, kepercayaan, dan kesetiaan.
Sharnaaz Ahmad membawakan watak Ghaz, seorang pemimpin tegas dan berkarisma dalam Silent Guard, kumpulan pengawal keselamatan yang bukan sekadar bersaudara melalui darah, tetapi juga melalui perjuangan dan kesetiaan. Blood Brothers mengisahkan Silent Guard sebagai barisan pertahanan rahsia, namun di sebaliknya tersembunyi sebuah entiti berpengaruh yang membawa elemen konspirasi lebih luas. Filem ini bukan sekadar berkisar tentang pengawal peribadi, tetapi juga dunia mafia yang penuh strategi, pengkhianatan, dan perjuangan mempertahankan prinsip.

Berbeza dengan kisah gangster biasa, Blood Brothers menawarkan perspektif baharu dalam genre aksi tempatan, menggabungkan elemen persaudaraan, pengorbanan, dan rahsia yang semakin terungkai sepanjang cerita.
Skop Productions, dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, mempersembahkan Blood Brothers, sebuah filem aksi penuh debaran yang mengupas kepercayaan, pengorbanan, dan nilai persaudaraan dalam dunia penuh tipu daya. Diarahkan oleh Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, serta skrip hasil sentuhan Abhilash Chandra, Ghazwan Tomasi, Ayam Fared, dan Ashraf Modee Zain, filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Wan Hanafi Su, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Irfan Zaini, Andy Teh, dan Amelia Henderson.
Lebih daripada sekadar filem aksi, Blood Brothers menjanjikan pengalaman sinematik yang mendebarkan dengan jalan cerita yang penuh intensiti dan aksi berkualiti tinggi. Jangan lepaskan peluang menyaksikannya di pawagam bermula 10 April 2025!