CSOIAM TERUS DOMINASI, 6 MINGGU BERTURUT-TURUT TRENDING DI PLATFORM X!

Episod keenam Calpis Soda One in a Million (CSOIAM) minggu ini memberikan kejutan yang penuh dengan drama, tenaga, dan persembahan hebat dari Top 6. Dibawakan dengan kerjasama artis-artis ternama seperti Marsha Milan, Shiha Zikir, Aisha Retno, Haqiem Rusli, Khai Bahar, dan Amir Masdi, episod kali ini sekali lagi membuktikan mengapa program ini terus menjadi topik perbualan hangat. CSOIAM mengekalkan momentum apabila terus trending di platform X untuk minggu keenam berturut-turut!

Episod dimulakan dengan Alif Satar & The Locos yang memukau penonton melalui lagu Anugerah Terindah dan Inikah Cinta. Tidak hanya itu, suasana pesta semakin meriah apabila Top 6 membawakan medley Bollywood Aankhein Khuli dan Koi Mil Gaya, memberikan warna baru di pentas dengan energi luar biasa. Seakan-akan pentas dirasuk keghairahan Bollywood, persembahan mereka benar-benar mencuri perhatian!

Salah satu duet yang mencuri tumpuan adalah Marygrace bersama Aisha Retno yang mempersembahkan lagu Sinaran. Meskipun penuh dengan tenaga, komen daripada juri mencabar Marygrace untuk tampil lebih segar menjelang finale. Cakra Khan memuji vokalnya tetapi menyarankan supaya projeksi suara diperbaiki, sementara Alif Satar memuji keyakinan Marygrace di pentas.

Sementara itu, Kai Deva berjaya memukau penonton bersama Haqiem Rusli melalui Di Alam Fana Cinta. Persembahan ini begitu menyentuh perasaan sehingga menyebabkan ibunya mengalirkan air mata bangga. Dato’ Yusry memberikan pujian terhadap tone suara Kai yang unik, namun mencadangkan agar lebih fokus kepada harmoni.

Duet Jangan Kau Mimpi yang dibawakan oleh Shiha Zikir dan Zazleen penuh dengan gaya. Ziana Zain memuji interaksi Zazleen yang kelihatan profesional di pentas, namun menegur sebutan vokalnya yang perlu diperbaiki untuk tampil lebih cemerlang di finale. Alif Satar menggambarkan Zazleen sebagai “Amy Winehouse Malaysia” kerana keunikan groove-nya yang begitu berkarakter.

Persembahan Mariam bersama Marsha Milan dengan lagu Cinta adalah salah satu yang paling mengesankan. Bukan sahaja Mariam mampu mengimbangi aura Marsha, malah dia berjaya mengawal pentas dengan penuh yakin. Cakra Khan memuji keupayaan Mariam dalam mengimbangi kedua-dua vokalnya dan aura Marsha yang kuat.

Persembahan Dua Insan Bercinta oleh Eylia dan Khai Bahar memperlihatkan sisi lembut Eylia, namun ada sedikit kelemahan di penghujung lagu yang ditegur oleh Alif Satar. Walau bagaimanapun, Alif tetap memuji keselesaan Eylia di pentas yang jelas terlihat.

Persembahan penutup dari Jimi dan Amir Masdi dengan lagu Nur Nilam Sari mengakhiri episod dengan penuh tenaga. Cakra Khan yakin bahawa Jimi mampu memberi lebih, tetapi tetap memuji prestasi beliau dalam mencapai not tinggi dengan baik.

Episod ini berakhir dengan penyingkiran Eylia Guntabid, meninggalkan hanya lima peserta terbaik untuk mara ke separuh akhir minggu depan. Dengan tema Melodi Cerita Kita, Top 5 akan menyanyikan lagu-lagu ikonik dari OST filem dan drama yang pasti membawa cabaran baru dalam perjalanan mereka. Siapakah yang bakal terus bersinar? Undian penonton semakin penting kerana 40% keputusan ditentukan oleh penonton, sementara 60% lagi ditentukan oleh juri

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Top 5 dalam aksi penuh kejutan dan persembahan hebat mereka di CSOIAM setiap Ahad, jam 9.00 malam di TV3. Jangan lupa untuk mengundi peserta kegemaran anda bagi peluang memenangi RM1 juta! Pastikan juga anda tidak terlepas peluang untuk menonton Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal yang bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9 malam, untuk mendapatkan sorotan eksklusif perjalanan peserta.

CSOIAM terus menjadi fenomena dan anda boleh terus menyaksikannya secara live atau strim HD di Tonton. Jangan lupa ikuti perkembangan terkini di media sosial melalui @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk terus menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini!