Raja R&B dan UK Garage dari United Kingdom, Craig David, akan kembali memukau peminat Malaysia melalui konsert eksklusif “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” pada 10 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert ini istimewa kerana ia menandakan kemunculan semula Craig David ke Malaysia selepas lebih 10 tahun, mengubat rindu para peminat yang telah mengikuti perjalanan seninya sejak awal 2000-an. Lebih menarik, persembahan ini hadir bersempena dengan pelancaran album studio ke-9 beliau berjudul Commitment, yang akan dilancarkan pada 8 Ogos 2025.
Album Commitment digambarkan sebagai karya paling peribadi Craig David, menampilkan tema pencarian makna komitmen dan evolusi dirinya sebagai artis. Ia turut memuatkan kolaborasi hebat bersama artis terkenal dunia seperti Tiwa Savage, JoJo, dan Louisa Johnson. Album ini menggabungkan elemen nostalgia daripada era Born To Do It dengan sentuhan muzik moden yang segar dan relevan.
Konsert kali ini akan mempersembahkan konsep unik TS5 — gabungan persembahan vokal secara langsung dan set DJ yang telah menjadikan Craig David fenomena global sejak 2012. Bermula sebagai siaran radio dari apartmennya di Miami, konsep TS5 kini telah menjelajah pentas berprestij dunia termasuk Ibiza, Dubai, London, dan Tokyo. Kini, buat pertama kalinya, TS5 akan menemui peminat di Malaysia.
Para penonton boleh menjangkakan malam penuh tenaga dengan rangkaian lagu hits sepanjang lebih dua dekad, termasuk Fill Me In, 7 Days, Walking Away, What’s Your Flava, dan When The Bassline Drops.
Craig David mula mencipta nama menerusi kolaborasinya dengan Artful Dodger dalam lagu Re-Rewind, sebelum meledak dengan single solo pertama Fill Me In yang menjadikannya artis solo lelaki termuda mencapai No.1 carta UK. Album debutnya Born To Do It (2000) terjual lebih 7 juta unit di seluruh dunia dan diiktiraf oleh MTV serta The Guardian sebagai antara album terbaik sepanjang zaman.

Sepanjang kariernya, Craig David telah mencatat lebih 13 juta jualan album, meraih pelbagai anugerah berprestij termasuk 3 Ivor Novello Awards, 2 MTV Europe Music Awards, dan 14 pencalonan BRIT Awards. Pada 2021, beliau turut menerima gelaran MBE daripada mendiang Ratu Elizabeth II atas sumbangan dalam bidang muzik dan kebajikan.

Tiket “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” akan mula dijual tidak lama lagi. Peminat disarankan untuk mengikuti pengumuman rasmi penganjur bagi memastikan mereka tidak terlepas konsert yang dijangka menjadi antara acara muzik paling hangat tahun ini.
Ikuti perkembangan terkini di:
Twitter: @craigdavid / @ts5
Instagram: @craigdavid / @ts5
Facebook: facebook.com/CraigDavid / facebook.com/TS5Official