Converse MY & Balai Seni Negara Berganding Bahu Perkasa Seniman Muda

Pada hari Jumaat, 28 Februari ini, Converse Malaysia (Converse MY) melancarkan “Creative Exploration”, sebuah aktivasi jenama yang menjadi sebahagian daripada kempen global LOVE, CHUCK. Majlis pelancaran ini akan dirasmikan oleh tetamu kehormat, YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar, Setiausaha Politik Kanan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Inisiatif ini menandakan kolaborasi strategik antara Converse MY, Balai Seni Negara, serta institusi pengajian tinggi UiTM dan MIA dalam usaha mengangkat seni kreatif tempatan.

LOVE, CHUCK merupakan kempen global Converse yang bertujuan untuk menghubungkan jenama ini dengan budaya di setiap pasaran melalui pelbagai aktiviti kreatif. Di Malaysia, “Creative Exploration” menjadi tunjang utama kempen ini bagi tahun 2025, di mana ia menawarkan platform yang mampan untuk meraikan seni dan kreativiti dalam komuniti tempatan.

Melalui aktivasi ini, pelajar-pelajar terpilih dari UiTM dan MIA diberi peluang untuk menghasilkan karya seni unik menggunakan kasut Chuck Taylor sebagai bahan utama. Karya-karya ini akan dipamerkan di Art Depot, Balai Seni Negara bermula 28 Februari hingga 12 April 2025. Selepas itu, beberapa karya terpilih akan dipamerkan di cawangan utama Converse di sekitar Lembah Klang, memberi peluang lebih luas kepada orang ramai untuk menghayati hasil seni anak tempatan.

“Creative Exploration” bukan sekadar platform untuk pelajar mempamerkan bakat mereka tetapi juga sebagai medan pendedahan awal kepada aplikasi seni dalam dunia fesyen komersil. Selain itu, ia membuka peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan Balai Seni Negara serta komuniti seni visual tempatan. Ini seterusnya memperkukuhkan peranan Balai Seni Negara sebagai hab seni kontemporari yang dinamik serta lokasi pilihan untuk penganjuran aktiviti seni kreatif.

UiTM dan MIA turut memainkan peranan penting dalam kejayaan program ini, membuktikan keupayaan mereka dalam melahirkan bakat-bakat baharu dalam industri seni kreatif. Kerjasama ini mencerminkan komitmen institusi-institusi ini dalam membangun dan menyokong bakat seni generasi baharu melalui program-program yang bermakna dan berimpak tinggi.

Menurut Dr. Shaliza binti Mohd Shariff, Ketua Pengajian Seni Reka dari Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, “Creative Exploration ini adalah satu contoh kegiatan yang kami raikan. Ia adalah satu peluang yang unik dan menarik untuk pelajar-pelajar kami mengembang sayap dan bakat mereka. Ada banyak lagi yang boleh kita terokai dan cuba melalui aktivasi-aktivasi seperti ini, dan kami berharap yang kerjasama ini tak akan berakhir di sini saja.”

Harapan Dr. Shaliza turut selari dengan visi Converse MY dalam memastikan aktivasi ini menjadi program yang berterusan dan mampan. Converse MY ingin melihat lebih banyak pihak turut serta dalam inisiatif ini, menyokong usaha membentuk generasi baharu dalam bidang seni kreatif yang lebih progresif dan berdaya saing di Malaysia. Dengan sokongan komuniti dan kerjasama erat pelbagai pihak, “Creative Exploration” berpotensi menjadi salah satu pemangkin utama dalam memperkasakan industri seni kreatif tempatan.