Legenda seni tanah air, Dato’ M. Nasir sekali lagi mencipta fenomena dengan konsert terbaru yang unik dan penuh makna. Buat pertama kali dalam sejarah industri muzik Malaysia, sebuah konsert berskala besar yang mengangkat lagu-lagu raya akan dianjurkan. Diberi nama Cipta Raya, konsert ini bakal berlangsung pada 13 April 2025 di Zepp KL dengan penganjuran oleh Icon Entertainment.
Konsert ini merupakan spin off kepada Konsert Cipta 2 yang mencuri perhatian ramai apabila M. Nasir menyanyikan lagu raya Satu Hari Di Hari Raya, yang menjadi viral dan mendapat sambutan luar biasa. Terinspirasi daripada kejayaan tersebut, Icon Entertainment tampil dengan idea konsert raya pertama seumpamanya, yang menjanjikan pengalaman baharu buat peminat.
Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, Cipta Raya akan menampilkan sekitar 20 lagu, dengan 17 daripadanya merupakan lagu bertemakan hari raya. Lagu-lagu tersebut bukan hanya karya ciptaan M. Nasir sendiri, tetapi juga lagu-lagu raya kegemarannya yang dinyanyikan oleh artis lain. Ini memberi peluang kepada peminat untuk menikmati pelbagai lagu raya ikonik dalam satu persembahan eksklusif.
Lebih menarik, setiap pemegang tiket tidak hanya mendapat akses menonton konsert, tetapi juga berpeluang menikmati juadah raya sebelum konsert bermula. Konsep ini diilhamkan bagi mencipta suasana seperti sebuah rumah terbuka Aidilfitri, menjadikan pengalaman menonton Cipta Raya lebih istimewa dan bermakna.


M. Nasir sendiri menyambut baik penganjuran konsert ini dan menyifatkannya sebagai satu perayaan seni yang berbeza. Beliau percaya bahawa lagu-lagu raya mempunyai daya tarikan yang tersendiri dan wajar diraikan dengan penuh kegemilangan. “Cipta Raya bukan sekadar konsert, tetapi sebuah keraian buat semua,” ujar beliau.
Dengan konsep yang unik dan tarikan istimewa yang ditawarkan, Cipta Raya dijangka bakal mencetuskan fenomena dalam dunia hiburan tempatan. Bagi peminat setia M. Nasir dan pencinta muzik raya, konsert ini pastinya acara yang tidak boleh dilepaskan!