Cherry On Top dan EP ‘Ketagih’ Raih Perhatian Industri Muzik

Sudah sekian lama industri muzik tanah air tidak dimeriahkan dengan kehadiran sebuah band muda berbakat seperti Cherry On Top. Sejak pelancaran single mereka, Ketagih, band ini telah membuka mata ramai pihak dengan bakat luar biasa mereka.

Hanya setahun setelah bergabung dan memperkemas penampilan, enam anak muda yang berkongsi minat mendalam terhadap seni ini tidak menyangka kejutan yang menanti. Pesona sehebat Datuk Syafinaz Selamat bersedia untuk berkolaborasi dengan mereka, suatu penghormatan yang besar.

“Siapalah kami ini berbanding beliau, Datuk Syafinaz Selamat?” kata Kuzan, 22, atau nama sebenarnya, Raja Hifzhan Shah Raja Mohd Sham, pemain keyboard, programmer, dan vokalis yang mengetuai band ini dari Kuala Lumpur.

Dimuatkan dalam EP sulung mereka yang berjudul “Ketagih,” single ciptaan Kusham dengan lirik oleh Syafinaz Selamat ini menjadi dorongan besar buat band ini. Cherry On Top juga terdiri daripada gitaris, Osama, 23; pemain dram, Ayen Tommy, 25; penyanyi utama, Holy, 23; dan pasangan adik-beradik, Didi, 22, serta Bobo, 18, yang masing-masing bermain gitar dan bass. Kesemua anggota band ini masih mengikuti pengajian dalam bidang muzik di Aswara, kecuali Didi yang mengambil jurusan automotif di sebuah kolej tempatan. Bobo, yang baru sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia, akan meneruskan pengajian asasnya di Aswara.

Diterbitkan oleh Kusham, EP keluaran syarikat rakaman One Scream Studio ini memuatkan lima lagu: “Mengintai Rahsia,” “Menunggu,” “Resolusi,” dan “Ketagih (Extended Version).” Cherry On Top merupakan artis pertama yang ditandatangani oleh One Scream Studio, yang diasaskan oleh Kusham dan Zaira Aziz.

Kolaborasi bersama Syafinaz sangat bermakna buat Holy, atau nama sebenarnya, Adriana Audrey Michael. Dia masih tidak percaya dapat berkolaborasi dengan idolanya sejak kecil. “Semasa kecil, saya sangat mengagumi Datuk Syafinaz, terutamanya ketika beliau membuat ulasan dalam perjurian,” kata gadis kelahiran Papar, Sabah ini. “Saya berangan-angan alangkah seronoknya jika dapat berjumpa dengannya. Tetapi dapat menyanyi dan merakam lagu bersamanya? Itu adalah mimpi menjadi kenyataan.”

Album “Ketagih” jelas memperlihatkan keupayaan luar biasa Cherry On Top sebagai pemuzik. Menurut Kuzan, rock menjadi asas kepada personaliti band ini, diadun dengan elemen pop, fusion, dan Rhythm & Blues, yang akhirnya menemukan titik persamaan, iaitu rock progresif.

Kuzan juga mengakui bahawa band ini memberikan makna baru kepada bidalan “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” dengan hampir semua ahlinya mewarisi bakat keluarga. Kuzan sendiri mewarisi bakat bapanya, Raja Sham, seorang Pengarah Muzik terkenal dan Pemuzik Kanan Orkestra RTM. Ibunya, Zaira Aziz, adalah guru vokal dan pemain flute yang sering mengiringi persembahan penyanyi terkenal.

Osama pula, yang lebih dahulu mencipta nama sebagai penyanyi, pemain gitar, dan pelakon, adalah anak kepada penyanyi legenda, Dato’ Jamal Abdillah. Ayen mendapat inspirasi daripada bapanya, Black, pemain dram band rock popular, Wings. Studio muzik menjadi sekolah pertama bagi Didi dan Bobo kerana penglibatan bapa mereka dalam industri rock, termasuk menguruskan band seperti DEF-GAB-C.

Holy juga dibesarkan dalam keluarga yang bergelumang dengan muzik. Kombinasi pelbagai genre dan legasi keluarga ini menjadi amanah yang perlu digalas, membawa kepada nama Cherry On Top sebagai pengenalan. “Ditubuhkan asalnya dengan nama Rock Ages, nama itu dirasakan tidak begitu komersial. Dengan kehadiran Holy sebagai vokalis dan satu-satunya wanita dalam kalangan kami, maka lahirlah Cherry On Top,” kata Kuzan.

Kuzan yang cenderung kepada penulisan lagu, menyedari kedudukan keluarganya dalam seni tidak bermakna segalanya mudah buat mereka. “Ada baik dan buruknya apabila ada orang tua terkenal. Sebagai tarikan, ya. Tetapi tinggi juga jangkaan, adakah anak-anak sehebat orang tuanya. Kami perlu berusaha keras dan menjadi yang terbaik,” kata Kuzan, disetujui oleh Ayen.

Osama, anak sulung Jamal, mengakui bahawa bapanya membuka jalan untuknya dalam seni. “Tetapi selebihnya, kami berdiri bukan sebab aku anak siapa, kau anak siapa. Tapi kerana minat dan perjuangan telah mempertemukan kami,” katanya.

Didi, atau nama sebenarnya Muhammad Danish Danial, menegaskan bahawa Cherry On Top akan membawa nafas baru dalam industri muzik tanah air. “Kami akan memperdengarkan susunan muzik dan melodi yang segar. ‘Ketagih’ berbaloi untuk dihasilkan dan didengarkan.”

Bobo, atau nama sebenarnya Muhammad Danish Ashraf, telah memberikan sentuhannya dalam banyak rakaman lagu sejak usia 10 tahun, dari penyanyi sebesar Datuk Siti Nurhaliza hingga Ezad Lazim dan Zamani Slam. Semua pengalaman ini menjadi rencah yang mengesahkan mengapa Cherry On Top bakal mencetuskan angin perubahan yang luar biasa.

EP Ketagih kini boleh didengari di semua platform digital, selain dalam bentuk fizikal yang terhad dan akan dilancarkan kelak. Cherry On Top boleh diikuti di FB, selain IG menerusi cherryontop_band atau ikuti juga Once Scream Studio di FB dan Tik Tok untuk info.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *