Canon Perkenal Kit Kandungan Baharu EOS R6 V dengan Lensa Power Zoom Siri-L

Canon Marketing Malaysia (“Canon”) hari ini memperkenalkan kit penciptaan kandungan terbaharunya yang terdiri daripada kamera EOS R6 V bersama lensa RF20-50mm f/4L IS USM PZ, iaitu lensa profesional siri-L bingkai penuh pertama Canon yang dilengkapi fungsi Power Zoom. EOS R6 V hadir dengan keupayaan fotografi dan video berprestasi tinggi setanding EOS R6 Mark III, namun dioptimumkan khusus untuk penghasilan kandungan video. Antara ciri baharu yang diperkenalkan termasuk kipas penyejuk terbina dalam serta soket tripod menegak yang direka untuk memudahkan penciptaan kandungan media sosial. Kamera ini turut dilengkapi sensor CMOS bingkai penuh sehingga 32.5 megapiksel efektif dan sokongan rakaman 7K Open Gate yang membolehkan pengguna memanfaatkan keseluruhan sudut pandangan lensa ultra sudut lebar bagi menghasilkan kandungan yang lebih kreatif dan fleksibel.

Lensa RF20-50mm f/4L IS USM PZ pula direka sebagai padanan ideal kepada EOS R6 V dengan menawarkan reka bentuk kompak dan mudah dibawa tanpa menjejaskan versatiliti penggunaan. Julat zum 20mm hingga 50mm sesuai untuk pelbagai situasi rakaman, daripada visual sudut lebar hinggalah komposisi yang lebih dekat dan terperinci. Fungsi Power Zoom terbina membantu menghasilkan transisi zum yang lebih lancar dan sinematik, manakala apertur tetap f/4 memastikan pendedahan yang konsisten sepanjang rakaman dilakukan.

Menurut Edward Chang, Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Pengimejan Canon Marketing Malaysia, pencipta kandungan masa kini menghasilkan kandungan untuk pelbagai platform dan format. Justeru, EOS R6 V dan RF20-50mm f/4L IS USM PZ dibangunkan untuk menawarkan prestasi dan kemudahan yang diperlukan bagi membantu pengguna berkarya dengan lebih yakin, sama ada untuk produksi profesional mahupun kandungan harian. Beliau turut menjelaskan bahawa pelancaran ini mencerminkan komitmen berterusan Canon terhadap inovasi sejajar dengan falsafah “Delighting You Always”.

EOS R6 V turut menampilkan rakaman 7K Open Gate RAW/MP4 yang menggunakan keseluruhan kawasan sensor ketika rakaman video dilakukan. Ciri ini memberikan fleksibiliti lebih besar kepada pencipta kandungan untuk menukar video mendatar kepada format menegak tanpa perlu membuat rakaman semula. Kipas penyejuk terbina dalam juga membolehkan rakaman video 7K Open Gate MP4 dilakukan sehingga kira-kira tiga kali lebih lama berbanding EOS R6 Mark III, menjadikannya sesuai untuk temu bual panjang, acara langsung dan rakaman berdurasi panjang.

Bagi memenuhi keperluan kandungan media sosial, EOS R6 V direka khusus dengan soket tripod menegak yang membolehkan pemasangan lebih stabil tanpa memerlukan aksesori tambahan. Antara muka pengguna turut melaraskan paparan secara automatik ketika rakaman menegak dilakukan bagi memastikan pengalaman penggunaan yang lebih lancar. Reka bentuk badan kamera yang lebih linear dengan tonjolan minimum juga memudahkan integrasi bersama pelbagai rig dan aksesori tambahan.

Gabungan EOS R6 V dan RF20-50mm f/4L IS USM PZ turut menawarkan pengalaman rakaman video yang lebih dinamik menerusi reka bentuk yang ringan dan mudah dikendalikan. Sistem penstabilan imej lima paksi dalam badan kamera bersama Digital Movie IS berfungsi seiring dengan Optical IS pada lensa bagi menghasilkan rakaman yang lebih stabil ketika bergerak. Sistem ini juga menyokong mod Subject Tracking IS yang mengambil kira kedudukan subjek semasa proses penstabilan dilakukan.

Lensa RF20-50mm f/4L IS USM PZ menawarkan sudut lebar 20mm yang sesuai untuk rakaman lokasi dan visual dalaman yang lebih luas, manakala panjang fokus 50mm menyediakan jarak fokus minimum 0.24 meter untuk rakaman dekat dengan perspektif semula jadi. Pengguna boleh menggunakan gelang zum atau tuil zum pada EOS R6 V untuk menghasilkan transisi zum yang lancar, selain melaraskan kelajuan zum mengikut keperluan rakaman. Suis pemilih mod zum baharu juga membolehkan pengguna bertukar dengan mudah antara fungsi power zoom dan zum manual konvensional.

Dalam mod fotografi, EOS R6 V menawarkan prestasi hebat menerusi sensor bingkai penuh 32.5 megapiksel yang mampu menghasilkan imej dengan perincian dan julat dinamik cemerlang. Kamera ini turut menyokong rakaman berterusan sehingga 40fps menggunakan pengatup elektronik bersama keupayaan autofokus setanding EOS R6 Mark III. Sistem In-Body IS pula menawarkan kesan penstabilan sehingga 7.5 hentian di bahagian tengah imej dan 7.0 hentian di bahagian tepi ketika mengambil gambar pegun. Lensa RF20-50mm f/4L IS USM PZ juga memberikan prestasi cemerlang dalam keadaan cahaya rendah dengan keupayaan Optical IS sehingga 6 hentian, dan boleh mencapai sehingga 8 hentian apabila dipadankan dengan kamera siri EOS R yang menyokong In-Body IS.

Bagi memudahkan pencipta kandungan merakam diri sendiri, EOS R6 V dilengkapi butang rakaman hadapan dan lampu penunjuk rakaman, manakala gelang zum pada lensa mudah dicapai dari bahagian hadapan. Pengguna juga boleh mengawal kamera dan fungsi zum dari jarak jauh menerusi aplikasi Camera Connect atau menggunakan Alat Kawalan Jauh Tanpa Wayar BR-E2 yang baharu. Peranti kawalan jauh berasaskan Bluetooth itu menawarkan lebih banyak fungsi fotografi dan video termasuk butang rakaman khas serta fungsi yang boleh disesuaikan, selain hadir bersama Tripod Grip HG-200TBR yang boleh digunakan sebagai tripod meja dan kayu swafoto.

EOS R6 V dan RF20-50mm f/4L IS USM PZ turut menggabungkan pelbagai teknologi canggih Canon untuk menyokong aliran kerja pembikinan kandungan yang lebih profesional. Kamera ini menyokong Canon Log 2/3, Custom Picture, LUT tersuai, waveform monitor, rakaman audio empat saluran serta terminal HDMI Jenis-A standard. Mod Colour Filters dan S&F pula memberikan lebih kebebasan kreatif kepada pembikin filem dalam menghasilkan visual yang unik.

Dengan reka bentuk kompak sekitar 98.4mm dan berat kira-kira 420 gram, RF20-50mm f/4L IS USM PZ menawarkan prestasi optik yang setanding dengan RF24-105mm f/4L IS USM. Gabungan apertur tetap dan ciri power zoom menjadikannya pilihan ideal untuk pelbagai aliran kerja kreatif, manakala binaan tahan habuk dan percikan air memastikan lensa ini kekal lasak dalam pelbagai situasi penggambaran.

Untuk maklumat lanjut, layari Canon Malaysia.