Selepas mencuri tumpuan sebagai juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) dan melancarkan single sulung Titik Mula yang kini berada dalam carta 23 teratas Hot FM Top 40, Marygrace terus melakar langkah cemerlang dalam dunia muzik. Terbaharu, beliau terpilih sebagai wajah mewakili Sabah untuk kempen Gawai & Kaamatan 2025 anjuran Pepsi dan TV Sarawak (TVS), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon muda Borneo yang bersinar.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Marygrace mempersembahkan lagu rasmi bertajuk “Happy Gawai Kaamatan”, ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer Sarawak, Belle Sisoski. Lagu ini turut menampilkan Rezza Shah, bekas peserta CSOIAM, menjadikan gabungan tiga suara ini satu kolaborasi bertenaga yang menyatukan semangat Gawai dan Kaamatan dalam rentak pop moden berjiwa tradisional.
Bagi Marygrace, pengalaman merakam lagu ini di Maveriq Studio, Kuala Lumpur cukup bermakna. Selain cabaran menyampaikan emosi tepat untuk lagu berunsur budaya, beliau turut berkongsi betapa pentingnya keharmonian vokal antara tiga penyanyi yang datang daripada latar belakang berbeza. Namun, kenangan manis seperti gelak tawa dan perbualan budaya bersama rakan artis menjadikan proses ini amat berharga.

Menariknya, video muzik lagu ini dirakam di lokasi indah sekitar Kuching seperti Sarawak Cultural Village dan Nanga Damai Homestay. Gabungan suasana semula jadi dan seni bina tradisional menyerlahkan nilai estetika budaya dalam visual muzik video tersebut. Marygrace turut membuat kemunculan istimewa sempena Pesta Kaamatan KDCA di Sabah memperlihatkan penglibatan aktif beliau dalam meraikan warisan budaya tempatan.
Bukan itu sahaja, Marygrace bakal muncul bersama empat finalis CSOIAM dalam Here I Am Concert Malaysia bersama Rossa di Axiata Arena pada 14 Jun, serta bergandingan dengan Andmesh, Hael Husaini, Adira Suhaimi dan Ara Johari di Festival Tentang Cinta di SICC, Kota Kinabalu pada 9 Ogos ini.
“Happy Gawai Kaamatan” kini boleh distrim di semua platform digital. Hayati semangat pesta menuai dengan warna, suara dan budaya bersama Marygrace dalam karya penuh jiwa ini. Untuk info lanjut tentang Alternate Records & Talents, ikuti mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok. – Tehtariktimes