Uji bakat Calpis Soda One In A Million (OIAM) yang kedua baru sahaja berlangsung dengan meriahnya minggu lalu di Sabah dan Pulau Pinang. Kedua-dua lokasi ini menyaksikan sambutan hangat, diwarnai dengan persembahan luar biasa dari para peserta yang berjaya memberikan kesan mendalam sepanjang dua hari acara tersebut.
Dalam satu temu bual yang diadakan di Sabah dan Penang, Sarah dan Shafiq berkongsi pandangan mereka tentang keistimewaan peserta dari kedua-dua negeri ini. Mereka menyatakan bahawa bukan hanya peserta-peserta yang tampil kelihatan bersedia, tetapi juga menunjukkan kredibiliti luar biasa yang melampaui jangkaan mereka.
Sarah menekankan bahawa sesi uji bakat di Sabah memberi kesan mendalam, dengan menunjukkan perbezaan yang ketara berbanding Johor. “Para peserta di Sabah menunjukkan bakat yang unik dalam cara mereka menyanyi, membawa gaya yang tersendiri. Walaupun tidak semua mempunyai suara yang kuat, mereka tetap menyerlah dengan cara yang unik seperti busker atau melalui keunikan lain. Kredibiliti mereka sangat tinggi, sehingga saya sendiri rasa sukar untuk membuat keputusan—adakah perlu memperbaiki bakat yang ada atau mencari yang lebih baru. Sabah benar-benar luar biasa,” jelas Sarah.
Beliau juga memuji bakat-bakat dari Sabah, “Apabila saya datang ke Sabah, saya berfikir, siapa lagi selepas Marsha Milan, Rich Estranged, dan Velvet? Namun ternyata, bakat di Sabah masih sangat banyak dan takkan pernah habis. Peserta-peserta kali ini sangat mengejutkan dan memang luar jangkaan saya. Keunikan mereka sangat luar biasa.”
Shafiq Erwin pula memberikan komen mengenai sesi uji bakat di Pulau Pinang, mengatakan bahawa walaupun ramai yang berbakat dalam menyanyi, masih ada kekurangan dalam persiapan mereka. “Di Penang, ramai yang boleh menyanyi dengan baik, tetapi kurang dalam pemilihan lagu dan genre yang sesuai. Banyak yang bagus dalam rock dan balada, tetapi kami mencari yang lebih pelbagai. Ada juga yang datang kurang bersedia dari segi keyakinan diri dan penampilan. Sekarang, saya lebih mengutamakan suara yang jelas dan persiapan yang rapi. Memang ramai yang berbakat, termasuk peserta paling muda berumur 15 tahun. Ada yang tidak melepasi saringan, bukan kerana mereka tidak bagus, tetapi mereka perlu usaha lebih. Saya juga teruja melihat kemunculan peserta secara berkumpulan atau duo, kategori baru dalam Calpis Soda One In A Million kali ini.”
Sebagai program ikonik, OIAM telah menjadi platform yang hebat untuk membawa bakat baru ke pentas lebih besar, dan memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi untuk menunjukkan kebolehan mereka. Oleh itu, peluang hebat ini terbuka kepada semua, terutamanya bagi artis dari pelbagai genre untuk menyertai uji bakat di lokasi seterusnya dan merebut peluang memenangi hadiah utama bernilai RM1 juta!
Uji bakat seterusnya akan diadakan di Kuala Lumpur pada 16 dan 17 November 2024 (Sabtu dan Ahad), bertempat di AEON Hall Aras 4, AEON Mall Shah Alam, serta Blok D, Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya, dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Ini adalah peluang terbaik bagi bakat muda yang bercita-cita tinggi untuk menunjukkan kebolehan mereka dan berpotensi menjadi bintang besar dalam Calpis Soda One In A Million!
Jadi, jangan lepaskan peluang ini! Sertai kami pada bulan Disember di TV3 untuk menyaksikan pencarian suara bernilai RM1 juta dalam Calpis Soda One In A Million. Ikuti @TV3Malaysia di semua platform media sosial untuk kemas kini terkini dan nikmati keterujaan bersama Calpis Soda, minuman kegemaran semua untuk musim ini.
Untuk maklumat lanjut tentang program ini, pastikan anda mengikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, dan Twitter di @TV3Malaysia, serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.