Bank Islam Malaysia Berhad akan menamatkan perkhidmatan aplikasi perbankan mudah alih lama, GO by Bank Islam, dan platform perbankan internet www.bankislam.biz secara rasmi mulai 28 Jun 2025. Penamatan ini dipercepatkan daripada tarikh asal 28 November 2025 berikutan lebih 90% pengguna telah beralih ke aplikasi dan platform baharu, BIMB Mobile dan BIMB Web, yang dilancarkan pada November 2024.
Aplikasi BIMB Mobile menerima maklum balas positif dengan penarafan 4.8 di App Store, 4.7 di Google Play Store dan 4.0 di Huawei AppGallery. Bank Islam menggesa semua pelanggan untuk segera beralih ke platform baharu ini bagi memastikan pengalaman perbankan digital yang lancar dan selamat. BIMB Mobile menawarkan pelbagai ciri keselamatan terkini termasuk log masuk biometrik dan pengesahan transaksi, serta antara muka yang mesra pengguna.
Melalui aplikasi ini, pelanggan dapat menguruskan transaksi utama seperti semakan baki, pemindahan dana, pembayaran bil, transaksi QR DuitNow, bayaran zakat, serta penyelenggaraan Kad Debit-i dan Akaun Emas-i yang baru diperkenalkan. Selain itu, Bank Islam merancang untuk memperkenalkan fungsi tambahan seperti pembayaran QR rentas sempadan di negara terpilih, pendaftaran akaun baru secara dalam talian tanpa perlu ke cawangan, pemindahan wang antarabangsa yang mudah dan selamat, serta BIMB Mobile Lite yang direka khas untuk pelanggan muda berumur 12 tahun ke atas.
Pelanggan boleh memuat turun BIMB Mobile melalui Apple App Store, Google Play Store, atau Huawei AppGallery, dengan syarat sistem operasi minimum iOS 10 bagi pengguna iPhone dan Android 13 bagi pengguna Android. Untuk bantuan teknikal semasa proses migrasi, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900 atau menghantar e-mel ke contactcentre@bankislam.com.my. – Tehtariktimes