Perjalanan seni Bunga sejak 2019 kini mencapai satu lagi pencapaian besar dengan pelancaran album sulungnya berjudul “Seharum Nama – Bunga”, yang boleh didengar di semua platform digital mulai 8 Ogos 2025. Album ini menampilkan 10 buah lagu yang menggambarkan evolusi dan kematangan dirinya sebagai seorang penyanyi dan pengkarya muzik.
Bunga meluahkan rasa syukur dan bangga apabila hasil kerja keras selama dua tahun akhirnya membuahkan hasil.
“Album ini bukan sekadar hadiah untuk peminat, tetapi juga cerminan jiwa dan perjalanan muzik saya. Setiap lagu dipilih dengan teliti agar dapat memuaskan hati semua pendengar,” kata Bunga.
Dalam masa yang sama, Bunga yang bernaung di bawah Warner Music Malaysia turut memperkenalkan single terbarunya “Tak Tidur Malam” sebagai lagu utama (lead single) album ini.
Senarai Lagu dalam Album “Seharum Nama – Bunga”
- Tak Tidur Malam
- Buai
- Jatuh
- Dengarkanlah
- Intan Payung (feat Noraniza Idris)
- Apadehal (2025 Mix)
- Jiwa Raga
- ME[MAHA]MI
- Nak Buat Cane?
- Jalan Keluar
Bunga mengakui pemilihan 10 lagu ini bukan perkara mudah kerana terlalu banyak karya yang dipertimbangkan. Setiap lagu dibincangkan bersama pihak pengurusan bagi memastikan ia sesuai dengan konsep album.
“Saya sangat berpuas hati dengan lagu-lagu yang dipilih. Album ini juga menampilkan pelbagai genre, menunjukkan keberanian saya untuk bereksperimen,” tambahnya.

Kisah di Sebalik “Tak Tidur Malam”
Single “Tak Tidur Malam” melalui proses pra-produksi yang panjang, termasuk melibatkan tiga individu berbeza dalam proses mixing dan mastering. Pada asalnya, lagu ini diinspirasikan daripada irama dangdut, namun selepas beberapa percubaan, ia diubah kepada konsep “vibe spooky” untuk memberikan kelainan dan kesegaran bunyi.
Lagu ini adalah ciptaan Amzar Razqa, Bunga, dan Amsyar Razqa, serta mengalami beberapa kali perubahan susunan muzik sebelum mencapai versi akhir.
Video Muzik Seperti Filem Pendek
Bunga juga berkongsi bahawa beberapa lagu dalam album ini seperti “ME[MAHA]MI”, “Tak Tidur Malam”, dan “Dengarkanlah” mempunyai video muzik yang dihasilkan seperti filem pendek dengan jalan cerita tersendiri. Bagi Bunga, ia adalah sebuah perjalanan mencari diri dan mengandungi mesej peribadi yang selama ini dipendam.
Pelancaran album ini turut diraikan bersama TGV Suria KLCC sebagai penganjur bersama.
Edisi Khas & Merchandise
Sebagai simbolik, Bunga melancarkan edisi khas piring hitam “Seharum Nama – Bunga” dan akan mengeluarkan barangan rasmi (merchandise) hasil kolaborasi bersama jenama High Cultured tidak lama lagi.
Dengan “Seharum Nama – Bunga”, peminat bakal menikmati sebuah karya yang mempamerkan kematangan Bunga dalam muzik, keberanian bereksperimen, dan sentuhan peribadi yang tulus dari hati. – Tehtariktimes