“Gila, bro! Persembahan diorang memang lain macam! Feel dia betul-betul ‘feel’!” Dengan rambut yang mengerbang macam kena tiup angin helikopter, jaket kulit tebal, seluar ketat, buckle tali pinggang sebesar penumbuk dihiasi aksesori logam, dan kasut boots yang nampak macam nak naik kuda, Buck & Awas adalah contoh sebenar semangat rock di bawah naungan Alternate Records & Talents.
Bersedia untuk layan Rock Kapak? … Ini bukan sekadar cerita lama. Ini adalah duo rock yang tampil dengan single terbaru mereka, ‘Naik Hantu,’ yang pasti akan membuat anda terangkat dan ‘naik hantu’ bersama mereka!
Siapa sangka persembahan santai mereka dalam acara team building syarikat mampu menarik perhatian pihak pengurusan sehingga mengangkat mereka sebagai artis. Dari kerja di belakang tabir kini ke pentas utama, Buck & Awas melangkah maju dengan penuh keyakinan. Mereka bukan bertujuan untuk bersaing dengan bakat baru generasi Z, tetapi melihat ini sebagai peluang untuk merealisasikan impian mereka yang lama.
“Kami sebenarnya bukan penyanyi profesional,” akui Buck & Awas. “Apabila pertama kali mendengar demo lagu ini, hati kami terus berdegup kencang! Rasa bercampur baur sebab suara kami bakal dirakam secara profesional,” mereka kongsi. Setelah beberapa sesi ujian vokal yang santai tapi penting, mereka akhirnya diberi peluang untuk merekodkan lagu di studio. Hasilnya? ‘Naik Hantu’ versi rock yang penuh tenaga dan mantap!
Buck & Awas mula dikenali dalam industri hiburan melalui konten viral bersama artis terkenal di Anugerah Juara Lagu 38. Mereka kemudian muncul sebagai cameo dalam drama aksi ‘Polis Peronda,’ yang juga merupakan pengalaman lakonan pertama mereka. Kini, mereka meneroka bidang nyanyian dengan lagu cover pertama mereka, ‘Naik Hantu’ versi rock, yang turut menjadi runut bunyi filem ‘Pontianak 200kg,’ dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin.
‘Naik Hantu’ versi Buck & Awas, yang menggabungkan elemen rock dan rap dengan sangat padu, merupakan hasil kerjasama antara pengarah muzik terkenal Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K sebagai komposer, dengan sokongan Alternate Records & Talents. Genre rock dipilih kerana ia sesuai dengan karakter Buck & Awas yang bersemangat dan suara mereka yang unik mampu menghidupkan muzik ini dengan penuh tenaga.
Dua sesi rakaman dan hampir tujuh jam di studio telah dilalui untuk menghasilkan lagu ini. “Untuk kami yang baru dalam bidang ni, menyanyi bukanlah perkara mudah, bro. Terutama dengan lagu yang beatnya laju macam ni. Kena kawal pernafasan! Ada tiga high note yang buat kami rasa macam nak ‘naik hantu’ sendiri!” kata Buck & Awas sambil ketawa, mengenang cabaran di studio.
“Pengalaman rakaman ni sangat bermakna untuk kami,” tambah mereka. “Iqie Hugh sebagai penerbit sangat humble dan supportive walaupun kami masih baru dalam dunia seni. Kalau diberi peluang lagi, kami pasti ingin bekerjasama dengan team ni lagi!” tambah mereka.
“Korang wajib dengar single pertama kami ni! Gabungan rock dan rap yang fresh dengan lirik catchy. Nostalgia rock zaman dulu tapi dengan sentuhan moden. Lagu ni santai dan menghiburkan tanpa unsur berat,” kata mereka penuh semangat.
“Kalau korang suka, mungkin kita boleh explore genre lain lepas ni, mungkin pop rock pula!” tambah Buck & Awas.
Menurut Iqie Hugh, idea untuk versi rock ini muncul untuk memberi daya tarik baru kepada lagu ini. “Versi rock ‘Naik Hantu’ ni memang sesuai dengan identiti Buck & Awas yang kelakar, bersahaja, dan penuh nostalgia rock zaman dulu. Mereka adalah duo yang ideal—pemalu sebelum perform, tapi bila on stage, mereka benar-benar menggegar!”
Dengan hanya dua sesi rakaman dan tempoh pembikinan selama tiga minggu, Buck & Awas telah menunjukkan bakat dan profesionalisme yang luar biasa. “Mereka benar-benar membawa vibe yang unik ke dalam studio. Tak sabar nak lihat reaksi pendengar,” tambah Iqie.
‘Naik Hantu’ bukan sekadar lagu rock biasa. Ia membawa mesej jelas dalam setiap situasi, jangan bertindak secara tergesa-gesa. Fikir dahulu sebelum membuat keputusan. “Untuk Buck & Awas, teruskan berkarya dan menghiburkan rakyat Malaysia. Langkah pertama memang sukar, tapi itu yang paling penting,” pesan Iqie Hugh.
Untuk merancakkan lagi ‘Naik Hantu,’ muzik video rasmi telah dilancarkan di saluran YouTube Buck & Awas Official. Muzik video ini membawa penonton ke dalam dunia filem seram komedi Pontianak 200kg, dengan suasana malam untuk mengekalkan mood seram yang sesuai dengan lagu ini. Dirakam dalam satu malam, gaya visual yang dramatik disertai dengan babak menarik dari filem tersebut. Persembahan Buck & Awas dilakukan di lokasi dengan elemen rustic dan vintage, dengan pontianak yang sentiasa memerhatikan mereka, menambah lagi elemen seram dalam muzik video ini.
Bersiap sedia untuk dihiburkan dengan ‘Naik Hantu’ versi rock oleh Buck & Awas. Lagu ini bukan hanya muzik; ia adalah cerita, cabaran, dan keberanian untuk melangkah ke hadapan!
“Apa lagi yang korang tunggu? Jom layan ‘Naik Hantu’ dengan Buck & Awas sekarang!”
Jangan lepaskan peluang untuk mendengar versi rock ‘Naik Hantu’ nyanyian Buck & Awas yang kini rancak bergegar di pelbagai platform penstriman seperti Spotify dan YouTube Music. Saksikan juga filem komedi seram ‘Pontianak 200kg’ yang akan ditayangkan pada 5 September 2024 di pawagam seluruh Malaysia.
Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_, Instagram, dan TikTok @alternate.rt_. Juga, ikuti Buck & Awas di Instagram @buck_awas dan TikTok @buck.awas.