Melihat sambutan luar biasa terhadap Konsert Inul Daratista Live In Malaysia yang bakal berlangsung pada 6 Disember ini, pihak penganjur, Fajar Baiduri Empire, tampil dengan inisiatif baharu bagi menyemarakkan lagi dunia hiburan tempatan pencarian bakat Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025!
Menurut Pengarah Urusan Fajar Baiduri Empire, Khairul Isma, maklum balas positif daripada peminat yang tidak sabar menantikan konsert tersebut telah membuka ruang untuk idea baharu ini tercetus. “Ramai yang mencadangkan supaya kami mencari pelapis muda untuk meneruskan legasi muzik dangdut di Malaysia. Jadi, kami sahut cabaran itu untuk mengangkat semula genre dangdut yang masih mempunyai peminatnya tersendiri,” katanya.
Pertandingan Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025 ini diadakan bagi mencungkil bakat baharu dan memberi peluang kepada mereka yang berani menonjolkan kemampuan vokal dalam irama dangdut. Juara pertandingan bukan sahaja bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, tetapi juga berpeluang menjadi penyanyi rakaman, manakala tempat kedua akan menerima RM1,000 dan lima finalis lain masing-masing membawa pulang RM700. Pertandingan ini akan berlangsung di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Selain itu, Konsert Inul Daratista Live In Malaysia yang akan diadakan di Setia Spice Arena, Pulau Pinang turut menampilkan persembahan hebat daripada ratu dangdut Indonesia, Inul Daratista, bersama dua bintang tempatan Amelina dan Baby Shima. Menurut Khairul Isma, sambutan peminat menunjukkan bahawa muzik dangdut masih mendapat tempat di hati masyarakat, dan kehadiran Inul selepas hampir dua dekad pasti mengubat kerinduan ramai.
“Kami mahu menjadikan platform ini sebagai batu loncatan kepada bakat baharu. Kepada semua yang berminat, terutama di sekitar Pulau Pinang, jangan lepaskan peluang ini dan daftar penyertaan anda sebelum 8 November 2025,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025, orang ramai boleh melayari laman media sosial rasmi Suara Space. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi bintang dangdut generasi baharu Malaysia!