Bella Astillah Sertai Barisan Artis Eksklusif Konsert Hologram Glenn Fredly di Malaysia

Alunan vokal Glenn Fredly kekal menjadi igauan ramai walaupun jasadnya sudah tiada. Lagu-lagu cinta malar segar seperti Kasih Putih, Januari dan Akhir Cerita Cinta terus mencengkam hati peminat seluruh Nusantara termasuk penyanyi Malaysia, Bella Astillah, yang mengakui pemergian Glenn sebagai kehilangan besar buat dunia muzik serantau.

Bagi Bella, Glenn bukan sekadar idola, tetapi sumber inspirasi sejak zaman kanak-kanaknya. Menurutnya, muzik Glenn sangat berbeza dan mendalam berbanding penyanyi lain. “Saya membesar dengan lagu-lagu Glenn. Karya beliau sangat jujur, penuh emosi dan memberi makna,” kata Bella ketika ditanya mengenai peluang menyertai konsert istimewa Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia.

Menjadikan konsert ini lebih bermakna, Bella kini secara rasmi menyertai barisan artis yang akan membuat persembahan di Zepp Kuala Lumpur pada 18 Julai 2025. Turut serta dalam konsert ini ialah barisan pemuzik dan penyanyi hebat seperti The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson.

Konsert ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan luar biasa di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu. Kini, giliran peminat Malaysia pula merasai sendiri keajaiban teknologi hologram yang ‘menghidupkan’ kembali Glenn Fredly di atas pentas dalam persembahan berdurasi 2 jam setengah.

Lebih daripada sekadar tribute, konsert ini bakal menjadi sambutan penuh emosi, cinta dan kenangan mengajak penonton untuk menyanyi, menari dan menikmati pengalaman baharu dengan sentuhan teknologi canggih serta penceritaan visual yang memukau.

Bagi Bella, dijemput menyertai konsert ini adalah satu penghormatan besar. “Saya rasa sangat bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada persembahan yang sangat bersejarah ini. Teknologi hologram menjanjikan sesuatu yang luar biasa. Tapi saya mahu peminat sendiri datang dan rasai magisnya,” ujar Bella yang masih merahsiakan bentuk persembahannya nanti.

Konsert ini dianjurkan oleh Premier Live Productions dengan kerjasama Matahati Sdn Bhd dan beberapa rakan strategik, menandakan satu detik penting dalam sejarah muzik Asia Tenggara. Ia bukan sahaja menyatukan peminat dengan kenangan silam, tetapi juga mengangkat martabat seni dalam era moden.

Menambahkan keterujaan, pihak penganjur turut menawarkan promosi menarik termasuk tiket pasangan (couple) pada harga istimewa RM266. Peminat juga boleh menikmati diskaun 30% bagi pembelian individu dengan menggunakan kod promosi khas seperti GlennXBella, GlennXAllan atau GlennXNoh.

Tiket boleh dibeli di laman web rasmi www.ticket2u.com/GlennHologram. Untuk maklumat terkini, ikuti @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords, @glennfredlymusik, @matahatilive dan @blacksky.asia di media sosial.-Tehtariktimes