Bella Astillah Semarakkan Aidilfitri Dengan “Ya Raya” Bersama Fipper

Penyanyi dan pelakon terkenal, Bella Astillah, menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran single Raya terbaharu berjudul “Ya Raya”. Lagu ini ditulis oleh Rudeen, dikompos oleh Rudeen dan Exactesy serta diterbitkan oleh Exactesy, menampilkan susunan muzik yang menggabungkan elemen moden dan tradisional dalam satu gabungan segar tanpa menghilangkan jiwa muzik Raya yang dekat di hati pendengar. Sarat dengan keceriaan, kesyukuran dan semangat kebersamaan, “Ya Raya” hadir sebagai runut bunyi yang meraikan momen indah bersama insan tersayang.

Menurut Bella, hubungan emosinya dengan lagu ini terjalin sejak pertama kali mendengar demo. Beliau merasakan “Ya Raya” sangat positif dan menggambarkan suasana perayaan yang sering dilalui setiap tahun, sama ada di kampung mahupun di bandar. Lagu ini disifatkan sebagai ringan, penuh kesyukuran dan meraikan masa bersama keluarga serta rakan-rakan, dengan elemen ceria yang mampu membuatkan pendengar tersenyum dan benar-benar menepati mood Raya.

Walaupun kedengaran bertenaga dan ceria, proses rakaman lagu ini mempunyai cabarannya tersendiri apabila Bella kurang sihat dan demam ketika sesi rakaman berlangsung. Cabaran utama adalah untuk mengekalkan tenaga dan keceriaan dalam vokal agar tidak kedengaran dibuat-buat. Namun begitu, bahagian korus yang catchy menjadi momen paling menyeronokkan apabila suasana studio turut sama meriah dengan semua yang hadir menyanyi bersama.

Keistimewaan “Ya Raya” terletak pada keseimbangan antara bunyi klasik Raya dan sentuhan kontemporari yang segar. Lagu ini mengekalkan rasa Raya yang dikenali ramai, tetapi dengan susunan muzik yang lebih moden dan sesuai dengan citarasa pendengar masa kini. Pendekatannya lebih menumpukan kepada meraikan momen kecil bersama orang tersayang, bukan sekadar kemeriahan besar perayaan semata-mata.

Kolaborasi bersama Fipper pula memperluaskan mesej lagu ini daripada sekadar karya muzik kepada gaya hidup sempena musim perayaan. Bagi Bella, Raya bukan hanya tentang muzik atau fesyen, tetapi keseluruhan pengalaman termasuk perjalanan pulang ke kampung dan momen bertemu keluarga. Kerjasama ini dilihat sebagai simbol keselesaan dan gaya santai Raya, sekali gus menjadikan gabungan muzik dan gaya hidup lebih dekat dengan kehidupan seharian peminat.

Pihak Fipper menyifatkan pemilihan Bella sebagai wajah kolaborasi selari dengan nilai jenama yang meraikan keaslian, keselesaan dan gaya hidup rakyat tempatan. Bella dilihat sebagai figura positif, autentik dan dekat dengan masyarakat pelbagai lapisan umur. Lagu “Ya Raya” pula dipilih kerana membawa emosi, nostalgia dan kegembiraan Aidilfitri, menjadikan muzik sebagai medium yang menghubungkan jenama dengan pengguna secara lebih bermakna. Melalui projek ini, Fipper memperlihatkan evolusinya daripada sekadar jenama selipar kepada jenama gaya hidup yang hadir dalam perjalanan harian serta momen istimewa pengguna.

Sementara itu, Universal Music Malaysia menjelaskan bahawa pemilihan lagu dibuat secara teliti oleh pihak A&R yang menilai beberapa demo berdasarkan kekuatan melodi, lirik dan potensi komersial agar benar-benar menjiwai semangat Raya. Bella dipilih kerana imejnya yang positif, kekuatan vokal serta hubungan kukuh dengan peminat. Kolaborasi bersama Fipper juga dilihat sebagai pendekatan organik dengan penekanan untuk menghasilkan lagu Raya yang tulen, mudah melekat di ingatan dan dekat di hati pendengar tanpa elemen penjenamaan yang terlalu menonjol.

Bella berharap “Ya Raya” dapat menjadi lagu yang menemani detik bermakna setiap kali Aidilfitri menjelma. Beliau mengajak semua untuk menghargai masa bersama insan tersayang, saling memaafkan dan mencipta kenangan indah kerana Raya hadir hanya sekali setahun. “Ya Raya” boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 13 Februari 2026.