Bella & Ade Satukan Hati Dalam Lagu Perpisahan

Selepas kejayaan lagu terdahulu, Bella Astillah tampil dengan single terbaru bertajuk “Lebih Indah Berpisah”, hasil kolaborasi bersama komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda. Lagu ini dilancarkan secara rasmi pada 12 Jun 2025, dengan siaran media eksklusif di Kuala Lumpur.

Ditulis dan diterbitkan oleh Ade, lagu ini mengangkat tema keberanian untuk melepaskan cinta yang tidak lagi dihargai, demi kebahagiaan diri. Menurut Bella, tajuk lagu dipilih bagi mencerminkan sisi positif dalam perpisahan, dan ia ditulis dengan penuh jiwa oleh Ade.

Bella turut menyifatkan kerjasama ini sebagai satu pengalaman berharga. “Suasana rakaman sangat positif dan bebas tekanan. Saya rasa lebih bersemangat hasil sokongan mereka,” katanya.

Ade pula menegaskan lagu ini adalah tentang keberanian memilih kebahagiaan. “Jika cinta anda tidak dihargai, semoga lagu ini memberi kekuatan untuk memilih jalan baharu,” katanya. Beliau turut memuji tahap profesionalisme Bella, termasuk dalam penggambaran muzik video.

Sejak pelancarannya bulan lalu, “Lebih Indah Berpisah” telah mencecah lebih 700,000 tontonan di YouTube, dan menerima sambutan hangat dari peminat di Malaysia dan Indonesia. – Tehtariktimes