Babak menyayat hati daripada drama bersiri TV3 Keluarga Itu kini menjadi bualan hangat di TikTok apabila meraih jutaan tontonan dan ribuan komen. Adegan yang tular itu memperlihatkan detik tragis yang mengundang sebak dalam kalangan penonton apabila pasangan muda, Dhamiah (lakonan Puteri Balqis) dan Aman (lakonan Amir Ahnaf), ditemukan dalam keadaan trauma selepas menjumpai mayat bayi yang ditanam, dipercayai anak mereka yang hilang, Jihad. Dalam babak penuh emosi tersebut, Dhamiah meraung dalam keadaan tidak tentu arah seolah-olah hilang akal, manakala Aman pula rebah dan pengsan akibat terlalu terkejut. Lakonan hebat kedua-dua pelakon muda ini dianggap sangat realistik, meruntun jiwa dan berjaya memberi impak besar kepada penonton.

Klip babak tersebut terus mencuri perhatian ramai di TikTok, dihujani pelbagai reaksi daripada netizen yang memuji lakonan penuh penghayatan oleh Puteri Balqis dan Amir Ahnaf. Ramai yang menyifatkan persembahan mereka sangat hidup dan berjaya menyampaikan emosi secara mendalam. Antara komen yang tular termasuk, “Part Aman pengsan tu aku banjir,” “Menjadi betul lakonan Mia, pandai betul Aqish pegang watak,” serta “Terbaik lakonan mereka berdua.” Rata-rata penonton mengaku terkejut, sebak dan benar-benar tersentuh, malah ada yang menyuarakan harapan agar kedua-duanya diberi pengiktirafan atau anugerah atas mutu lakonan yang luar biasa. Dalam masa yang sama, ruang komen turut dibanjiri pelbagai teori dan persoalan tentang siapakah sebenarnya dalang di sebalik kematian tragik bayi Jihad.

Keluarga Itu yang dibintangi oleh barisan pelakon tersohor seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Melissa Campbell, Izara Aishah, Puteri Balqis dan Amir Ahnaf ternyata berjaya menambat hati penonton dengan jalan cerita penuh emosi dan konflik keluarga yang menyentuh realiti kehidupan sebenar. Episod akhir drama ini bakal menemui penonton pada 9 Mei, hari Jumaat jam 9.00 malam di TV3, dan turut boleh distrim 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk mengikuti perkembangan drama terkini, layari laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram melalui akaun @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi @dramasangat.