ATLAS Vending & SWCorp Perhebat Inisiatif Hijau: 50 ECOPOD Diperkenal untuk Galak Kitar Semula di Seluruh Negara

Dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian negara, ATLAS Vending, anak syarikat kepada Etika Sdn Bhd, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di ibu pejabat SWCorp, Cyberjaya. Inisiatif ini menandakan satu langkah penting dalam memperluas infrastruktur kitar semula serta memupuk gaya hidup hijau yang lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.

Di bawah kerjasama ini, sebanyak 50 unit ECOPOD, mesin kitar semula pintar (Reverse Vending Machine) yang diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai mesin paling nipis di dunia dengan sistem pemampatan tin, akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, hospital, universiti dan Pusat Transformasi Bandar (UTC). Penempatan ini bertujuan menjadikan aktiviti kitar semula lebih mudah, praktikal dan sebahagian daripada rutin harian masyarakat.

ECOPOD direka dengan konsep padat yang menggabungkan fungsi mesin layan diri dan mesin kitar semula dalam satu unit. Walaupun bersaiz kecil, mesin ini mampu menampung sehingga 214 tin mampat dan 70 botol plastik pada satu masa. Pengguna hanya perlu memasukkan nombor telefon bimbit untuk memulakan proses kitar semula, dan mereka yang mengitar semula produk Etika akan menerima kredit ganjaran yang boleh ditebus terus melalui mesin layan diri ATLAS bagi mendapatkan minuman pada harga diskaun menjadikan kitar semula bukan sahaja mudah, tetapi juga menyeronokkan.

Menurut Santharuban T. Sundaram, Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn Bhd, kerjasama ini adalah langkah penting dalam memacu ekonomi kitaran negara. “ECOPOD menjadikan kitar semula sebahagian daripada penggunaan harian rakyat Malaysia. Kami mahu memupuk perubahan tabiat melalui inovasi yang mudah dan berimpak tinggi, bagi membina budaya kelestarian yang berkekalan,” ujarnya.

Sementara itu, YBrs. Tuan Khalid Bin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, menyatakan bahawa kolaborasi ini merupakan contoh terbaik kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta. “ECOPOD bukan sekadar mesin, tetapi satu platform pendidikan interaktif bagi menggalakkan amalan kitar semula terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Sebagai inovasi buatan tempatan, ECOPOD membuktikan bahawa Malaysia mampu menghasilkan penyelesaian lestari bertaraf dunia. Kerjasama ini juga menyokong pelaksanaan Rangka Kerja Kelestarian Plastik 2021–2030, yang menggabungkan inovasi teknologi dan penglibatan pengguna untuk memperkukuh tabiat kitar semula jangka panjang. Sejak pelancarannya pada Mei 2025, ECOPOD telah menerima sambutan positif daripada pengguna dan syarikat korporat, dan kini ATLAS dijangka mencapai sasaran penempatan 100 unit ECOPOD menjelang akhir tahun ini.

Pemeterai MoU bersama SWCorp ini menandakan komitmen berterusan ATLAS Vending dan SWCorp dalam mempercepatkan usaha kelestarian negara melalui inovasi, kerjasama strategik, serta pemerkasaan penyelesaian tempatan demi Malaysia yang lebih hijau dan lestari. Untuk maklumat lanjut, layari Facebook rasmi ATLAS Vending di https://www.facebook.com/atlasasia.co/.