Astro, sebagai peneraju industri hiburan dan media di Malaysia, terus memeriahkan sambutan Ramadan tahun ini melalui penganjuran acara ‘Assalamualaikum RaRa 2025’ yang berlangsung dari 1 hingga 14 Februari di tiga lokasi istimewa – Masjid Sri Sendayan (Negeri Sembilan), Masjid Murtadha Dakwah Centre (MADAD, Kedah), dan Masjid Sultan Ismail Petra (Kelantan). Acara yang dihadiri oleh lebih 10,000 pengunjung ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama masyarakat dan mengimarahkan masjid dengan aktiviti yang mengajak semua golongan untuk bersama-sama meraikan kehadiran bulan suci.
Jelajah ‘Assalamualaikum RaRa 2025’ membawa pelbagai aktiviti menarik untuk komuniti di setiap lokasi, termasuk agihan makanan kepada yang memerlukan, sesi ramah mesra bersama selebriti Astro, dan juga aktiviti berbentuk ilmiah dan keagamaan. Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran duta Ramadan Raya Astro 2025 seperti Zizan Razak, Sherry Alhadad, Nadhir Nasar, dan Meerqeen yang mempromosikan lebih 70 kandungan baharu yang bakal ditayangkan di Astro sepanjang Ramadan. Sebagai sebahagian daripada tema ‘Meriah Lain Macam’, Astro bertujuan untuk mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam, sambil memperkenalkan hiburan yang membawa manfaat sepanjang bulan penuh keberkatan ini.
Aktiviti yang Menarik di Setiap Lokasi
- Masjid Sri Sendayan (Negeri Sembilan)
Sebagai lokasi pertama, hampir 3,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti yang melibatkan masyarakat setempat. Selebriti seperti Zizan Razak dan Sherry Alhadad turut beramah mesra bersama pengunjung, sementara aktiviti seperti ‘Mantai Bersama-sama’ serta persembahan istimewa daripada Mawi dan kumpulan UNIC mengisi acara. Tidak ketinggalan, Pengerusi Astro, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin turut hadir untuk memberi sokongan dan berkongsi kebahagiaan dengan para pengunjung. - Masjid Murtadha Dakwah Centre (MADAD, Kedah)
Kedah menjadi lokasi kedua jelajah, yang menyaksikan hampir 8,000 pengunjung memeriahkan acara ‘Berkongsi Rezeki’. Selain pengagihan bubur lambuk kepada komuniti setempat, program ini turut dihidupkan dengan persembahan kerohanian oleh Putera Muhammad dan Rabbani. Program ini juga diserikan dengan sesi ‘Tazkirah Malam Jumaat’ yang dihadiri oleh selebriti Alif Satar bersama pendakwah terkenal seperti Ustaz Fakhrul Radhi dan PU Amin. - Masjid Sultan Ismail Petra (Kelantan)
Jelajah ini berakhir di Kelantan dengan aktiviti menarik ‘Battle KAFA: Geng D.U.I.T Challenge’, yang melibatkan kanak-kanak dalam soalan berkaitan agama dan ibadah. Selain pertandingan ini, para pengunjung juga disajikan dengan persembahan dari selebriti terkenal seperti Zizan Razak dan Fairuz Selamat yang menghiburkan mereka dengan lagu-lagu kerohanian.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Astro Kasih turut menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Sebanyak 300 pek prihatin yang mengandungi barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, dan kurma telah diagihkan kepada komuniti di setiap lokasi jelajah. Bagi menyokong pendidikan anak-anak yang kurang berkemampuan, Astro Kasih juga memberikan 300 beg sekolah kepada Yayasan Munarah, membantu mereka memulakan sesi persekolahan dengan semangat baru.
Menambah kemeriahan sempena bulan Ramadan dan Raya, Astro One melancarkan kempen ‘Langgan dan Menang Macam-Macam’. Dari 1 Februari hingga 26 April 2025, pelanggan yang melanggan atau menaik taraf kepada pakej Astro One berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai sehingga RM200,000. Hadiah-hadiah seperti televisyen, telefon bimbit, baucar membeli-belah, dan kurma boleh dimenangi melalui mesin Gachapon di outlet terpilih.
Dengan pelbagai inisiatif menarik dan program-program sosial yang memberi impak positif, Astro terus komited untuk memeriahkan sambutan Ramadan ini. Program-program seperti ‘Assalamualaikum RaRa 2025’ bukan hanya menghiburkan, tetapi juga memberi manfaat besar kepada masyarakat, sekaligus merapatkan ukhuwah di kalangan umat Islam. Sebagai peneraju hiburan yang bertanggungjawab, Astro memastikan sambutan Ramadan kali ini penuh dengan makna, kemeriahan, dan kebaikan bagi seluruh masyarakat Malaysia.