ASM Lancar IPO RM21.8 Juta, Sasar Perluas Kilang

ASM Automation Group Berhad ASM Automation Group Berhad

KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 – ASM Automation Group Berhad (ASM), pakar penyelesaian automasi jentera yang berpengkalan di Malaysia, secara rasmi melancarkan prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) yang bakal menyaksikan penyenaraian syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

IPO ini merangkumi terbitan awam sebanyak 128.34 juta saham baharu atau 24.0% daripada jumlah modal saham yang diperbesarkan kepada 534.77 juta saham, berserta tawaran jualan 53.48 juta saham sedia ada (10.0%). Dengan harga penawaran RM0.17 sesaham, ASM dijangka menjana hasil kasar berjumlah RM21.82 juta.

Dana yang dikumpul akan digunakan bagi beberapa inisiatif strategik, termasuk RM11.40 juta untuk memperoleh tanah dan membina kilang baharu, RM2.30 juta bagi pembelian mesin serta peralatan pemasangan jentera demonstrasi, RM2.00 juta untuk memperkukuh aktiviti Reka Bentuk & Pembangunan (D&D), RM1.92 juta bagi keperluan modal kerja harian, dan RM4.20 juta untuk menampung kos penyenaraian.

Pengarah Urusan ASM, Encik Chan Kok Heng berkata, pelancaran prospektus ini membuka lembaran baharu buat ASM dalam usaha memperkukuh kehadiran dalam pasaran automasi. Beliau menegaskan bahawa dana IPO akan mempercepat rancangan pengembangan syarikat serta meningkatkan kredibiliti ASM sebagai pemain industri tersenarai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kewangan Korporat M & A Securities Sdn Bhd, En. Danny Wong, menyatakan keyakinannya terhadap prestasi ASM yang telah menunjukkan pertumbuhan stabil, dengan keupayaan teknikal kukuh dan potensi untuk terus berkembang di peringkat serantau. IPO ini dijangka menjadi pemacu kepada strategi pengukuhan ASM di pasaran tempatan dan global.

Turut menyokong kenyataan tersebut, Pengarah Urusan Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd, En. Kelvin Khoo berkata, ASM telah menunjukkan kecekapan dalam memenuhi keperluan industri, khususnya dalam sektor Makanan & Minuman (F&B). Beliau yakin dengan suntikan dana baharu ini, ASM mampu memperluas aktiviti D&D, memantapkan kecekapan operasi serta melaksanakan pengembangan secara terancang.

IPO ASM dikendalikan oleh M & A Securities Sdn Bhd sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Kewangan. – Tehtariktimes