Johor Bahru terus mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai kawasan pertumbuhan hartanah paling pesat di Malaysia pada tahun 2025, seperti yang diumumkan dalam Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia ke-12 yang dianjurkan bersama iProperty. Buat pertama kali, anugerah berprestij ini menggabungkan pandangan pakar industri, data pasaran dan pilihan pengguna bagi memberikan gambaran menyeluruh tentang landskap hartanah negara yang kini didorong oleh analisis berasaskan data.
Berdasarkan jutaan carian dan interaksi pengguna di platform PropertyGuru.com.my serta iProperty.com.my, Johor Bahru dan Selangor muncul sebagai dua negeri paling dinamik, mencerminkan peralihan minat rakyat Malaysia daripada pusat bandar utama ke kawasan yang menawarkan keseimbangan antara kemampuan, kesalinghubungan dan gaya hidup moden. Trend ini juga menunjukkan peningkatan minat terhadap pembangunan bersepadu dan projek yang menekankan prinsip ESG (Environmental, Social & Governance) selaras dengan keutamaan baharu pembeli yang mementingkan kelestarian dan kualiti hidup jangka panjang.
Dalam kategori Anugerah Permintaan Pengguna, Johor Bahru mendominasi dengan projek R&F Princess Cove dan Leisure Farm tersenarai sebagai antara pembangunan paling diminati di Malaysia. Selain itu, City Square Office Tower di Johor turut diiktiraf sebagai “Pejabat Paling Diminati untuk Disewa (Johor)”, manakala The Exchange 106 di Kuala Lumpur memegang gelaran serupa bagi kawasan ibu negara.

Menurut Dr. Lee Nai Jia, Ketua Perisikan Hartanah Kumpulan PropertyGuru, data ini menunjukkan perubahan ketara dalam pola minat pembeli tempatan. “Johor Bahru kini muncul sebagai hab serantau yang dinamik hasil pelaburan strategik seperti RTS Link dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang meningkatkan mobiliti serta keyakinan pelabur. Pencari rumah kini memilih komuniti bersepadu yang menawarkan keseimbangan kehidupan, pekerjaan dan rekreasi dalam satu lokasi satu tanda kematangan pasaran hartanah tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, Anugerah Pilihan Rakyat, yang ditentukan melalui hampir 28,000 undian awam, memberi pengiktirafan kepada 10 pemaju paling dipercayai rakyat Malaysia. Antara yang tersenarai termasuk Berinda Group, Mah Sing Group Berhad, PKNS, Tropicana Corporation Berhad, dan TRX City Sdn Bhd. Pencapaian ini menonjolkan kepercayaan pengguna terhadap jenama pemaju yang konsisten menawarkan nilai dan kualiti projek unggul.
Turut mencatat kejayaan besar ialah JLand Group, yang membawa pulang tiga gelaran utama Pemaju Terbaik (Malaysia), Pemaju Terbaik (Malaysia Selatan) dan Pemaju Perindustrian Terbaik. Projek utamanya, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru, turut diiktiraf sebagai Pembangunan Perbandaran Terbaik (Malaysia). Dalam masa yang sama, PKNS menegaskan kedudukannya sebagai peneraju dalam kelestarian melalui gelaran Sustainable Design Champion dan Low Carbon Champion, hasil usaha mereka membangunkan projek seperti Linkar 52, Aludra Residensi dan Galeria SA Sentral.
Menurut Jules Kay, Pengurus Besar PropertyGuru Asia Property Awards & Events, anugerah ini bukan sekadar meraikan kecemerlangan reka bentuk dan inovasi, tetapi juga mencerminkan nilai yang dihargai pengguna hari ini. “Pemaju kini memimpin dalam kelestarian dan inovasi, manakala data menunjukkan permintaan jelas terhadap pembangunan yang mengutamakan keselesaan dan kesalinghubungan. Ini membuktikan masa depan hartanah Malaysia akan dibentuk oleh keseimbangan antara inovasi, data, dan keperluan pengguna,” jelasnya.
Sebanyak 73 kategori dipertandingkan tahun ini, meliputi pelbagai segmen termasuk kediaman mewah, perumahan mampu milik, serta pembangunan komersial berinovatif di seluruh negara. Edisi ke-12 ini turut menjadi landasan penting menjelang Grand Final PropertyGuru Asia Property Awards 2025 yang akan berlangsung di Bangkok pada 12 Disember 2025, di mana 23 pemenang dari Malaysia bakal bersaing dengan wakil dari 14 pasaran lain di peringkat Asia. Untuk senarai penuh pemenang dan maklumat lanjut, layari AsiaPropertyAwards.com.