Anugerah Melodi Terhangat 2025 Gegarkan Dunia Hiburan Tempatan

Selepas hampir satu dekad menyepi, TV3 dan Tonton membangkitkan semula legasi hiburan ikonik melalui Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025), yang bakal berlangsung pada 3 Ogos ini jam 9 malam secara langsung di TV3 dan strim eksklusif di Tonton. Dengan slogan “Hangat Bukan Beshe-Beshe!”, AMT 2025 tampil lebih segar, berani dan kontemporari, menyatukan suara rakyat Malaysia untuk meraikan personaliti hiburan yang paling berimpak, trending dan tular sepanjang tahun.

Sebagai kesinambungan kepada program Melodi yang bermula sejak 1993, AMT 2025 bukan sekadar anugerah, tetapi simbol transformasi hiburan digital yang didorong sepenuhnya oleh undian awam. Sebanyak 11 kategori utama diperkenalkan termasuk Selebriti Drama Sangat Terhangat, Selebriti Couple Goals Terhangat, Selebriti Muzik Paling Onz, hingga Anugerah Pilihan PROTON X50 Superstar, ditambah pula dengan kemuncak anugerah tertinggi Ultimate Awards AMT 2025.

Pengurus Besar Kandungan TV3, Puan Marlia Zul Amran menyatakan bahawa AMT 2025 adalah komitmen TV3 untuk terus relevan dengan mengiktiraf selebriti yang bukan sahaja terkenal, tetapi membawa aura, pengaruh dan naratif menginspirasikan. Malam gilang-gemilang ini akan dikemudikan oleh Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, manakala sesi karpet merah akan diserikan oleh Fiza Frizzy dan Imran Aqil secara langsung di TikTok Melodi Berapi.

Undian telah pun dibuka sehingga 31 Julai 2025 dan boleh diakses melalui laman rasmi Tonton. Hanya pelanggan TontonUP layak mengundi, dengan 500 undian bagi langganan sebulan dan 2,500 undian bagi langganan tiga bulan. Setiap undi membawa kuasa mutlak rakyat dalam menentukan siapakah yang benar-benar terhangat di Malaysia!

Kolaborasi hebat turut hadir daripada dua nama besar Samsung Galaxy dan PROTON yang menghangatkan lagi pentas AMT 2025. PROTON tampil sebagai Penaja Bersama dan Penaja Kereta Rasmi dengan mengetengahkan Anugerah Pilihan PROTON X50 Superstar, di mana selebriti dan pencipta kandungan bersaing mencipta video paling kreatif dengan All-New PROTON X50. Pemenang bakal membawa pulang X50 serba baharu dan peminat yang menempah kenderaan ini sepanjang tempoh 5–26 Julai juga berpeluang memenangi tiket VIP ke malam anugerah.

Turut diadakan ialah Melodi Terhangat Superstar Tour, yang akan singgah di tiga lokasi AEON Mall Tebrau City, Johor Bahru (12 Julai), AEON Mall Bukit Mertajam, Pulau Pinang (19 Julai), dan Teluk Cempedak, Kuantan (26 Julai) bersama selebriti, peminat dan All-New PROTON X50.

Melodi, yang kini bersiaran setiap Khamis jam 9 malam di TV3, terus melakar sejarah sebagai jenama infotainmen yang relevan sejak 1993. Gandingan hos kekal Ain Edruce bersama wajah baharu Fikry Ibrahim menjanjikan kandungan lebih dinamik, emosional dan penuh kejutan.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah baharu ini. Undilah, sokonglah, dan raikanlah bintang terhangat pilihan anda! – Tehtariktimes