Anna Jobling Harumkan Nama Malaysia di Seoul! Raih Anugerah Outstanding Asian Star 2025

Nama Malaysia sekali lagi berkumandang di pentas antarabangsa apabila pelakon berbakat besar, Anna Jobling, diumumkan sebagai penerima trofi Outstanding Asian Star Malaysia di Seoul International Drama Awards 2025 (SDA) yang berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan. Majlis anugerah berprestij ini turut disiarkan secara langsung melalui saluran SBS TV, menyaksikan detik penuh bermakna buat dunia seni tanah air.

Kemenangan Anna menerusi drama popular “Hai Cinta, Dengarkanlah!” bukan sahaja meneguhkan kedudukannya sebagai pelakon muda versatil, malah mengangkat Malaysia ke peta industri hiburan antarabangsa. Persembahan berkesan dan penuh jiwa yang ditampilkan Anna berjaya mencuri hati penonton tempatan dan sekali gus menawan peminat luar negara.

Mengulas tentang kejayaan bersejarah itu, Anna tampil penuh emosi dengan ucapan penghargaan. “Saya amat terharu dan bersyukur atas pengiktirafan ini. Terima kasih kepada pihak Seoul International Drama Awards kerana memberi ruang kepada Malaysia untuk bersinar di pentas antarabangsa. Kemenangan ini bukan hanya untuk diri saya, tetapi untuk peminat, keluarga, serta seluruh pasukan produksi yang sentiasa mendukung perjalanan seni saya. Terima kasih juga kepada Tonton dan TV3 yang menjadi sebahagian penting dalam kerjaya saya. Trofi ini adalah hadiah buat Malaysia.”

Bagi meraikan detik bersejarah tersebut, Tonton melancarkan kod promo eksklusif “ANNAJOBLING” yang menawarkan langganan 3 bulan pada harga istimewa RM20 bermula 25 September 2025. Melalui langganan ini, peminat dapat menikmati drama kegemaran termasuk Hai Cinta, Dengarkanlah! dalam segmen “Koleksi Pujaan Hati”, bersama karya popular Anna seperti Melur Untuk Firdaus, Terima Kasih Cinta dan Bella – Bila Cinta Bersatu.

Pengiktirafan di Seoul ini menandakan lembaran baharu buat Anna Jobling yang kini melangkah lebih jauh dalam arena seni antarabangsa. Sebagai ikon hiburan muda, beliau berazam untuk terus menjadi inspirasi kepada generasi pelakon baharu Malaysia agar berani bermimpi besar dan yakin dengan potensi diri. Kejayaan ini sekali gus menjadi bukti bahawa bakat seni tanah air semakin diiktiraf serta dihormati di mata dunia.

Untuk mengikuti perkembangan terkini drama dan program menarik, ikuti Tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.