Penyanyi berbakat, Amira Othman kembali menghidupkan genre balada emosi dengan lagu terbaharunya, Dalam Sujudku karya yang dipilih sebagai lagu tema untuk drama menyayat hati Dia Bukan Syurga di Slot MegaDrama, Astro Ria bermula 19 Mei ini.
Lagu ciptaan Farouk Roman dengan lirik oleh Senna ini mengangkat kisah wanita yang terperangkap dalam hubungan toksik, namun masih menaruh harapan dan memohon kekuatan daripada Tuhan. Lirik mendalam seperti “Jika aku terbunuh oleh cinta, biar mati di hatimu saja” dan “Oh Tuhan, ku memohon dalam sujudku…” menyampaikan mesej tentang konflik dalaman, kesabaran dan penyerahan diri terhadap takdir.
Vokal Amira menyerlah dalam menyampaikan penderitaan batin watak Nuha seorang isteri yang didera emosi oleh suaminya, Tajul. Drama arahan Rashid Sibir ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Ezzanie Jasny, Niezam Zaidi dan Nazim Othman, yang menghidupkan kisah kejatuhan dan kebangkitan Nuha selepas bertemu semula cinta lamanya, Arham.
Lebih daripada sekadar lagu tema, Dalam Sujudku menjadi suara batin wanita yang terluka namun tetap percaya pada keajaiban harapan dan kekuatan jiwa. – Tehtariktimes