Sekian lama memilih untuk merahsiakan kisah hatinya, penyanyi bertenaga vokal luar biasa, Amir Masdi kini tampil lebih terbuka apabila berkongsi sisi peribadinya menerusi single terbaharu berjudul Bakal Kekasih. Lebih menarik, lagu ini bukan sekadar karya biasa – ia adalah luahan rasa terhadap sosok wanita istimewa yang berjaya menambat hatinya.
Amir, 29, atau nama penuhnya Amir Syazwan Masdi, menjelaskan bahawa Bakal Kekasih merupakan refleksi perasaan apabila seseorang mula jatuh cinta. Lagu ini ditulis bersama komposer terkenal, Edry Abdul Halim, yang turut menyuntik dimensi lebih mendalam pada naratif asal lagu tersebut.
“Saya tulis lagu ni pada asalnya sebagai lagu yang menyeronokkan, tentang perasaan suka pada seseorang. Tapi Cikgu Edry cadangkan supaya ia jadi lebih bermakna – tentang seseorang yang kita mahu jadikan pasangan hidup. Idea itu saya rasa sangat menarik dan dekat dengan ramai orang,” kata Amir.
Lagu ini menandakan kemunculan pertama Amir dalam genre rock and roll, sekaligus membuka lembaran baharu dalam diskografi muziknya. Ia merupakan single keempat dari album A.M P.M (Side A.M) selepas Nur Cinta, Calar dan Langit Biru, namun kali ini tampil dengan elemen yang lebih segar dan klasik.

Menurut Amir, Bakal Kekasih sebenarnya telah lama dicipta selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hanya diberi nafas baharu ketika proses penghasilan album. “Saya dah simpan lagu ni dalam phone selama beberapa tahun. Bila tiba masa nak siapkan album, saya terus teringat lagu ni dan kongsikan dengan Cikgu Edry. Beliau kata ‘this is a good tune’ – dan dari situ, kami bangunkan lagu ni sampai siap,” jelasnya.
Selain dari mesej romantis, Amir turut berharap lagu ini boleh menjadi suara buat mereka yang masih menyimpan perasaan terhadap seseorang. “Kalau ada sesiapa yang ada ‘crush’ tapi tak berani nak luah, boleh guna lagu ni. Ia terus-terang dan menyeronokkan,” tambahnya.
Menambahkan lagi nilai hiburan, video muzik Bakal Kekasih turut menjalani penggambaran di sebuah restoran retro di Manchester, United Kingdom. Mengambil inspirasi dari suasana remaja ala High School Musical dan Uptown Girl, Amir mahu menyampaikan vibe ‘free and easy’ yang menyeronokkan dan penuh tenaga.
Dengan sentuhan retro dan irama klasik yang jarang diketengahkan dalam pasaran muzik masa kini, Amir yakin Bakal Kekasih mampu mengubat rindu para peminat genre rock and roll. “Saya sangat teruja dengan lagu ni kerana ia benar-benar lain daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Harapnya ia dapat beri impak positif dalam perjalanan seni saya,” ujarnya mengakhiri.
Single Bakal Kekasih kini boleh distrim di semua platform digital, manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi YouTube AR United Music di pautan ini: https://youtu.be/zE_0Q2x7NF8?si=ulxcXpAEtGh49r2B– Tehtariktimes