ALPHA, kumpulan lelaki M-pop pertama di bawah label Rocketfuel Entertainment, bakal mencipta detik penting dalam perjalanan seni mereka dengan penampilan sulung di Singapura menerusi acara “Celebfest Amplified: ALPHA Fan Meet In Singapore 2025”. Acara ini akan berlangsung pada 20 Disember 2025, jam 3 hingga 6 petang, bertempat di Begonia Ballroom, NTUC Downtown East, Singapura. Penampilan ini bukan sahaja menandakan fan meet pertama ALPHA di negara itu, malah turut mencatat sejarah apabila mereka diumumkan sebagai artis pertama yang membuka tirai Celebfest Amplified, sebuah lanjutan eksklusif jenama Celebfest yang bertujuan membawa peminat lebih dekat dengan artis kegemaran mereka.
Sebelum ini, pada Oktober lalu, ALPHA membuat kemunculan ringkas di Celebfest Singapura. Walaupun hanya tampil seketika, kehadiran mereka menerima sambutan luar biasa apabila peminat membanjiri ruang acara dan terus setia memberikan sorakan padu sepanjang penampilan tersebut. Respon positif ini membuktikan pengaruh dan daya tarikan ALPHA di Singapura, sekaligus menjadi pemangkin kepada penganjuran fan meet eksklusif ini, yang memberi peluang kepada peminat untuk mengenali kumpulan itu dengan lebih dekat.
Sepanjang Celebfest Amplified: ALPHA Fan Meet In Singapore 2025, peminat bakal menikmati pengalaman eksklusif yang direka khas bagi menghargai sokongan mereka. Acara ini membolehkan peminat menikmati sesi high-tea bersama ALPHA, serta peluang beramah mesra dan berinteraksi secara lebih peribadi dengan setiap ahli kumpulan. Selain itu, ALPHA bakal menghiburkan peminat melalui persembahan secara langsung dengan lagu-lagu popular seperti “Monalisa (Bang Bang)” dan “P. Ramlee Saloma”, selain beberapa lagu lain yang sinonim dengan identiti muzik mereka. Peminat juga berpeluang merakam kenangan melalui sesi bergambar bersama kumpulan, menjadikan acara ini satu pengalaman yang lebih peribadi dan bermakna.
Berkongsi keterujaan menjelang fan meet sulung mereka di Singapura, Ariel Fesol menyifatkan acara ini sebagai detik yang sangat dinantikan. “Kami benar-benar teruja dan bersyukur akhirnya dapat bertemu peminat di Singapura dengan lebih dekat. Sambutan yang kami terima sebelum ini sangat luar biasa dan fan meet ini adalah peluang terbaik untuk kami membalas sokongan serta kasih sayang yang diberikan,” katanya. Rizal Rasid pula menyuarakan rasa bangga apabila kumpulan mereka dipilih sebagai artis pertama untuk Celebfest Amplified. “Ia satu penghormatan besar buat kami. Kami amat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan dan berjanji untuk memberikan persembahan terbaik serta kenangan manis buat semua yang hadir,” tambahnya.
Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, menyifatkan penganjuran fan meet ini sebagai pencapaian penting serta langkah strategik dalam memperkukuh perjalanan ALPHA di peringkat serantau. “ALPHA menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan sejak kemunculan mereka. Sambutan luar biasa yang diterima di Singapura membuktikan bahawa mereka mempunyai potensi besar untuk berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya. Beliau turut meluahkan rasa bangga kerana kumpulan itu diberi kepercayaan membuka tirai Celebfest Amplified. “Ini adalah pengiktirafan terhadap usaha, disiplin dan bakat mereka. Fan meet ini merupakan permulaan kepada lebih banyak peluang serantau yang bakal diterokai oleh ALPHA,” tambahnya lagi.
Bagi peminat ALPHA di Singapura dan rantau sekitarnya, tiket eksklusif untuk “Celebfest Amplified: ALPHA Fan Meet In Singapore 2025” telah mula dijual sejak 10 Disember 2025. Memandangkan permintaan yang tinggi dan kapasiti acara yang terhad, peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan. Dengan penganjuran fan meet sulung ini, ALPHA bukan sahaja melakar satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya mereka, malah terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan lelaki M-pop tempatan yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau, seiring sokongan padu peminat dan komitmen berterusan Rocketfuel Entertainment.