ALPHA Hidupkan Legenda Melalui Sentuhan Moden Dalam Lagu Terbaharu

Selepas mencuri perhatian ramai dengan debut luar biasa mereka menerusi lagu “Mona Lisa (Bang Bang)”, kumpulan idol lelaki serantau, ALPHA, kini kembali mencetus fenomena baharu menerusi single kedua berjudul “P. Ramlee & Saloma”. Bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment, karya terbaharu ini memperlihatkan perubahan total dari segi genre dan mood, sekali gus menampilkan sisi lebih matang dan emosional dalam muzik mereka.

Kali ini, ALPHA memilih untuk mengangkat genre balada moden yang penuh rasa dan jiwa, hasil ciptaan trio komposer hebat Justin Seow, Mohsein Kush dan RFE. Berbeza dengan gaya bertenaga dan penuh attitude dalam single pertama mereka, lagu “P. Ramlee & Saloma” memberi ruang untuk ketujuh-tujuh anggota ALPHA menyerlahkan vokal dan ekspresi secara lebih mendalam, sambil tetap mempertahankan identiti muzik yang segar dan kontemporari.

Nama ALPHA bukanlah asing buat peminat yang mengikuti program realiti Big Stage Alpha cabang khas kepada rancangan popular Big Stage yang menumpukan pada pencarian bakat lelaki dari rantau Asia Tenggara. Seramai 18 peserta lelaki berentap selama lapan minggu, namun hanya tujuh terbaik yang berjaya membentuk kumpulan akhir: Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky. Setiap mereka membawa warna dan keunikan tersendiri, namun kekal padu sebagai satu unit yang dinamik.

Nama ALPHA sendiri membawa makna yang mendalam simbol kekuatan, kepimpinan dan permulaan. Kumpulan ini bukan sekadar mahu tampil di pentas hiburan, malah mereka berhasrat menjadi wajah baharu muzik Asia Tenggara yang berani menembusi batas global. Datang dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, mereka bersatu dengan impian dan visi sama: mengangkat muzik serantau ke pentas antarabangsa.

Single sulung mereka, “Mona Lisa (Bang Bang)”, yang dilancarkan awal Julai, telah mencatat lebih 250 ribu tontonan di YouTube dalam masa singkat. Dicipta oleh gabungan pencipta lagu berprofil tinggi seperti Justin Seow, Kuizz, dan Roland Lim Shi Jie, lagu ini memperkenalkan ALPHA sebagai kumpulan yang berani, bertenaga dan bersedia mencabar arus perdana. Lagu pop moden ini menjadi bukti bahawa muzik Asia Tenggara mampu bersaing dengan produksi antarabangsa.

Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, pelancaran ALPHA adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memupuk dan mengetengahkan bakat rantau ini. “Kami percaya bahawa dengan platform dan sokongan yang tepat, bakat Asia Tenggara mampu bersinar di peringkat global. ALPHA adalah manifestasi kepada potensi tersebut.”

Bagi peminat yang tidak sabar menikmati sisi terbaru ALPHA, single “P. Ramlee & Saloma” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Video muzik rasmi juga bakal dilancarkan tidak lama lagi menerusi saluran YouTube rasmi @RocketFuelNetwork menjanjikan visual yang seiring dengan emosi dan nilai seni lagu tersebut.

ALPHA kini bukan lagi sekadar kumpulan idol baharu. Mereka adalah suara generasi baharu yang bersedia menulis semula naratif muzik serantau dengan gaya dan nada tersendiri. – Tehtariktimes