Selepas 18 tahun menyepi, filem yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan, Impak Maksima, kini kembali dengan sekuel terbaharu yang bakal menemui penonton bermula 17 Julai 2025. Diberi judul Impak Maksima 2, filem ini menjanjikan aksi yang lebih mendebarkan dan mendalam, sekali gus menghidupkan semula semangat jalanan yang pernah mewarnai pawagam tanah air pada tahun 2007.
Diterbitkan oleh Screen Studio Sdn Bhd dan diarahkan oleh pengarah tersohor, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, filem ini menampilkan hampir 1,000 buah kereta pelbagai jenis. Ia bukan sahaja mengangkat elemen perlumbaan jalanan ke tahap lebih tinggi, malah bakal membangkitkan keterujaan luar biasa dalam kalangan penggemar dunia automotif dan aksi.
Lebih menarik, Impak Maksima 2 menyatukan generasi pelakon lama dan baharu dalam satu naskhah penuh tenaga. Antara barisan pelakon yang terlibat ialah Zul Huzaimy, Dato’ Sri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi, dan Opie Zamie, bergandingan dengan wajah-wajah baharu seperti Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli, Fad Bocey, Riena Amirah, Man Raja Lawak dan ramai lagi.
Penggambaran telah dijalankan di beberapa lokasi strategik termasuk sekitar Lembah Klang, Iskandar Puteri, Johor Bahru, dan Melaka Bandaraya Bersejarah. Sokongan penuh daripada pelbagai pihak penaja seperti Goodyear, Petronas Syntium, APD Crew Circuit, Tatabaum Autowerks, Ultra Racing, WrapXpert, Works Engineering dan HJC Helmet turut memperkukuh keyakinan terhadap potensi besar filem ini.

Bukan itu sahaja, sokongan padu daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut membantu melancarkan proses penggambaran dengan lancar dan selamat.
Mengakui cabaran utama adalah untuk menghasilkan filem yang mampu menandingi pencapaian Impak Maksima terdahulu, pihak produksi mengambil pendekatan promosi yang lebih berani dan agresif. Hasilnya, sejak proses penggambaran bermula, filem ini telah tular di pelbagai platform media sosial membuktikan sambutan awal yang cukup memberangsangkan.
Penerbit dan pengarah turut menzahirkan harapan agar Impak Maksima 2 akan mendapat sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat, khususnya peminat filem tempatan dan pencinta aksi permotoran. Dengan kombinasi aksi hebat, pelakon berkarisma dan visual yang memukau, filem ini dijangka akan mengulangi kejayaan fenomena yang pernah dicetuskan hampir dua dekad lalu. – Tehtariktimes