Buat julung-julung kali dalam sejarah penganjurannya selama 25 tahun, Anugerah Industri Muzik (AIM) bakal mencipta detik bersejarah apabila edisi Jubli Peraknya, AIM25, akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September 2026.
Langkah membawa AIM ke bumi Sarawak merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan anugerah muzik paling berprestij Malaysia yang telah menjadi platform utama mengiktiraf kecemerlangan artis, pencipta lagu, penerbit, pemuzik serta tenaga kreatif industri muzik tempatan sejak tahun 1993.
Penganjuran AIM25 di luar Semenanjung Malaysia buat pertama kali bukan sahaja membuka lembaran baharu kepada acara berprestij ini, malah memperlihatkan usaha memperluaskan pengiktirafan terhadap kepelbagaian muzik, budaya dan identiti kreatif dari seluruh Malaysia.
Sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25, TVS memainkan peranan penting dalam membawa kemeriahan malam anugerah tersebut kepada penonton di seluruh negara menerusi siaran televisyen, platform digital serta penstriman percuma melalui TVS Inspire.

Diasaskan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), AIM telah berkembang menjadi sebuah institusi penting dalam industri muzik negara dengan mengiktiraf karya dan sumbangan penggiat seni yang membentuk landskap muzik Malaysia.
Memasuki edisi ke-25, AIM25 hadir bukan sekadar sebagai sebuah acara penghargaan, tetapi sebagai simbol perjalanan panjang industri muzik tempatan yang terus berkembang melalui pelbagai genre, bahasa dan latar budaya.
Pemilihan Kuching sebagai lokasi penganjuran AIM25 turut membawa makna tersendiri kerana Sarawak kini menjadi pentas pertemuan pelbagai warna muzik Malaysia yang menghubungkan bakat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu acara nasional.
Penganjuran ini turut membuktikan keupayaan Sarawak sebagai destinasi utama bagi acara seni, budaya dan hiburan berskala besar, sekali gus membuka peluang kepada perkembangan industri kreatif, pelancongan serta ekonomi acara di negeri tersebut.
Sempena sambutan Jubli Perak, AIM25 turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik bagi meraikan kepelbagaian budaya serta evolusi muzik Malaysia.

Kategori Lagu Borneo Terbaik memberi penghargaan kepada karya yang mengetengahkan kekayaan budaya, bahasa, tradisi dan identiti unik masyarakat Sabah serta Sarawak, manakala Lagu Perayaan Terbaik meraikan karya yang mencerminkan nilai, kegembiraan dan semangat perpaduan masyarakat Malaysia berbilang kaum.
Pengenalan kategori baharu ini memperlihatkan komitmen AIM dalam memastikan pengiktirafan industri muzik terus berkembang seiring dengan kepelbagaian ekspresi kreatif rakyat Malaysia.
AIM25 turut mendapat sokongan strategik daripada kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dengan peruntukan Dana Pengiktirafan berjumlah RM950,000 kepada pemenang bagi 16 kategori menerusi peruntukan pembangunan yang ditadbir oleh MyCreative Ventures (MyCV).
Sokongan tersebut membuktikan kepentingan industri muzik sebagai sebahagian daripada sektor ekonomi kreatif negara serta usaha berterusan dalam menghargai sumbangan penggiat seni tempatan.
Selain itu, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP Sarawak) turut menyokong penganjuran AIM25 melalui Geran Sokongan Acara MTCP Sarawak bagi memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab seni dan budaya bertaraf nasional serta serantau.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2020, TVS terus berkembang sebagai platform penyiaran yang membawa cerita, budaya dan aspirasi Sarawak kepada khalayak lebih luas di seluruh Malaysia.
TVS yang merupakan satu-satunya stesen televisyen Malaysia yang menyiarkan berita dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Iban dan Mandarin terus memainkan peranan dalam meraikan kepelbagaian masyarakat menerusi kandungan yang inklusif.
Bagi mengiringi perjalanan menuju malam kemuncak AIM25, TVS turut mempersembahkan Hits 122 Edisi AIM25, sebuah siri mingguan sebanyak 13 episod yang membawa penonton mengenali sejarah AIM, karya muzik, calon terpilih serta insan kreatif di sebalik industri muzik Malaysia.
Program tersebut akan mula bersiaran pada 25 Julai 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam menerusi TVS 122, dengan matlamat memperluaskan capaian muzik tempatan dan meningkatkan keterlibatan penonton menjelang AIM25.
Selain TVS, CATS FM turut diumumkan sebagai Rakan Radio Rasmi AIM25 bagi memperkukuhkan lagi capaian acara tersebut kepada masyarakat Sarawak dan seluruh Malaysia melalui promosi, liputan serta kandungan khas radio.
Menurut Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Bin Zainal, kerjasama ini merupakan satu penghormatan besar kerana AIM memilih Kuching sebagai lokasi sambutan Jubli Peraknya dan membuktikan suara Sarawak kini turut menjadi sebahagian daripada suara Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi RIM & AIM, Rosmin Hashim berkata AIM25 amat bermakna kerana ia meraikan 25 tahun perjalanan sebuah anugerah yang terus menjadi platform penting dalam mengiktiraf bakat, kreativiti dan dedikasi penggiat muzik negara.
AIM25 bakal berlangsung pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak dan akan disiarkan menerusi TVS 122 melalui MYTV, Unifi TV serta Astro, selain boleh distrim secara percuma melalui TVS Inspire.










