AIM24 Kembali Dengan Kejutan Besar!

AIM24 2025 AIM24 2025

Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) akan berlangsung pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands dan disiarkan secara langsung oleh RTM. Selepas tiga tahun tidak dianjurkan, AIM24 kembali dengan tiga kategori baharu iaitu Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, yang mencerminkan kepelbagaian dan warisan budaya muzik Malaysia serta pengiktirafan antarabangsa.

Kementerian Komunikasi Malaysia memperuntukkan RM700,000 dana Kandungan Kreatif (DKK) untuk 11 pemenang AIM24, lebih dua kali ganda berbanding AIM23, sebagai sokongan kepada industri muzik tempatan. Pencalonan dibuka mulai 4 Jun hingga 4 Julai 2025 untuk karya dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, dan India yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

AIM24 menawarkan 31 kategori anugerah utama, khas, dan pra-anugerah bagi mengiktiraf pelbagai aspek industri muzik. Penjurian dikendalikan oleh panel bebas pakar industri dengan proses audit markah yang ketat. RTM sebagai penyiar rasmi komited untuk mempromosikan bakat tempatan dan mengangkat industri muzik Malaysia ke peringkat global. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi AIM di www.aim1.org.my. – Tehtariktimes