Lagu Raya Baharu Achey, ‘Ragam Raya’ Kini Dilancarkan!

Penyanyi dan komposer popular, Achey kembali menghangatkan suasana Aidilfitri dengan single raya terbarunya berjudul Ragam Raya. Lagu ini turut menampilkan dua bakat hebat, penyanyi baru Baby Feaaa dan penyanyi cilik viral, Tantari.

Menurut Achey, lagu ini telah dicipta sejak penghujung September tahun lalu, namun proses rakaman hanya dilakukan kemudian bagi menyesuaikan jadual semua artis yang terlibat.

“Saya dah buat demo lagu pada September tetapi rakaman mengambil masa kerana perlu mengikut jadual Baby Feaaa dan Tantari. Baby Feaaa pula sedang belajar di Kelantan, jadi prosesnya sedikit tertangguh,” jelas Achey.

Pemilihan Baby Feaaa dalam lagu ini mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Achey kerana beliau adalah anak kepada Allahyarham Harun Salim Bachik, individu yang pernah membantu Achey mencipta nama dalam industri seni.

“Arwah Harun banyak membantu saya pada tahun 2012. Selepas pemergian beliau, saya rasa terpanggil untuk membawa Baby Feaaa ke hadapan. Alhamdulillah, sebelum ini dia sudah berduet dengan saya dalam lagu Kabus dan kini kami berkolaborasi dalam lagu raya pula,” katanya.

Selain itu, Tantari turut terlibat dalam lagu ini kerana beliau pernah berduet dengan Achey dalam lagu Biar sebelum ini.

“Lagu raya ini ibarat satu kumpulan kecil yang saya hasilkan untuk menampilkan penyanyi-penyanyi yang pernah menyanyikan lagu ciptaan saya. Setiap tahun, saya bercadang untuk mengumpulkan mereka dalam sebuah lagu raya bersama,” ujar Achey.

Achey sebelum ini pernah mencipta lagu raya bertajuk Raya Rempit, yang mengetengahkan trend menghias motosikal sempena Hari Raya. Kali ini, beliau mahu menampilkan realiti lain yang sering berlaku tetapi jarang dimasukkan dalam lagu raya.

“Saya mahu lagu ini menjadi antara lagu raya yang dimainkan setiap tahun. Terima kasih kepada label rakaman saya, Seventeen Eleven Music, 360 Production, rakan media serta penaja utama, Sepulau Bintang, yang telah membantu dalam penghasilan muzik video ini,” tambahnya.

Achey juga merancang untuk menampilkan seorang lagi penyanyi dalam projek muziknya selepas Hari Raya, termasuk anaknya sendiri yang akan membuat pelbagai cover lagu dalam versi kanak-kanak.

Single Ragam Raya terbitan Seventeen Eleven Music boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik mulai Jumaat, 7 Mac 2025. Muzik video rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama, jam 10 malam.

Tonton muzik video rasmi di sini: https://youtu.be/QAbivSUfiuU.