Filem aksi yang paling dinanti-nantikan tahun ini, BANDUAN, akhirnya bersedia menemui penonton di seluruh negara bermula 6 November 2025. Diadaptasi daripada filem pecah panggung India, Kaithi, karya ini menjanjikan pengalaman sinematik penuh debaran dengan suntikan elemen tempatan yang segar dan dekat di hati penonton Malaysia.
Malam Gala tayangan perdana filem ini yang berlangsung di TGV Suria KLCC menyaksikan kehadiran ramai bintang ternama tanah air termasuk Dato’ Aaron Aziz, Dato’ Rosyam Nor, Dato’ Afdlin Shauki, Fadli Masoot, Adlin Aman Ramlie, Hushairi Husain, Amir Nafis, Esma Daniel, Abi Madyan, Hawra, Dayang Areeda, Joshua Michael, Zairi Abdul Aziz, dan Meynillan. Majlis istimewa itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Karthi Sivakumar, bintang utama versi asal Kaithi, yang diterbangkan khas dari India ke Kuala Lumpur bagi meraikan tayangan perdana adaptasi Malaysia ini — satu penghormatan besar buat produksi tempatan.

BANDUAN membawa penonton menyelami kisah penuh aksi dan emosi tentang Dali, seorang bekas banduan yang baru dibebaskan selepas 10 tahun dipenjarakan. Dengan satu hasrat untuk bertemu semula anak perempuannya buat kali pertama, perjalanan Dali berubah apabila dia terperangkap dalam misi berbahaya bersama Inspektor Johari, seorang pegawai polis yang berdepan ancaman daripada kumpulan samseng ganas. Dalam usaha menyelamatkan sepasukan anggota polis yang diracun dan dijadikan tebusan, Dali terpaksa memilih antara kebebasan peribadi dan tanggungjawab kemanusiaan.
Menariknya, filem ini bukan sekadar meniru formula asal Kaithi, tetapi mempersembahkan interpretasi Malaysia yang kaya dengan nilai budaya dan elemen tempatan. Dari juadah ikonik seperti Nasi Dagang, hingga ke penggunaan dialek dan latar lokasi Malaysia, semua disusun bagi memberikan rasa keaslian dan identiti tersendiri kepada naskhah ini.

Menurut Kalyana Devan, Penerbit Eksekutif filem BANDUAN, keputusan memilih Kaithi sebagai asas adaptasi dibuat berdasarkan kekuatan temanya yang bersifat universal. “Kami tertarik dengan kisah yang menyentuh aspek kasih sayang, pengorbanan dan penebusan diri. Cerita seperti ini mudah dirasai oleh penonton Malaysia kerana ia melibatkan emosi dan nilai kemanusiaan yang sejagat,” katanya.
Filem arahan Kroll Azry ini diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures, serta Astro Shaw sebagai rakan pemasaran dan pengedaran. Ia turut menandakan kemunculan semula Raja Aksi Malaysia, Dato’ Aaron Aziz, yang kembali dengan aksi pertarungan penuh tenaga dan karisma. Lebih membanggakan, BANDUAN juga akan ditayangkan serentak di Kanada, Amerika Syarikat, Brunei, dan Singapura, menandakan satu lagi pencapaian penting buat industri filem Malaysia di persada antarabangsa.

Filem BANDUAN bukan sekadar karya hiburan, tetapi simbol penyatuan antara dua dunia sinema – India dan Malaysia – melalui kreativiti, semangat dan nilai kemanusiaan sejagat. Dengan jalan cerita mendalam dan babak aksi yang realistik, filem ini dijangka mengukir tempat tersendiri di hati penonton seluruh rantau.