TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Tiga Dekad Mengembara, Spider Bawa Pulang ‘Sengat Selatan’ Ke Johor Bahru 30 Januari 2027

Selepas lebih tiga dekad mewarnai persada seni tanah air, kugiran legenda tanah air, Spider bakal melakar sejarah tersendiri apabila pulang ke negeri kelahiran mereka menerusi konsert berskala besar berjudul Konsert Sengat Selatan Spider. Konsert yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment ini dijadualkan berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 30 Januari 2027, bermula jam 8.30 malam.

Dianggotai oleh Tam, Iss, Pown dan Aie, kepulangan ini membawa makna yang cukup mendalam kerana Johor merupakan titik permulaan benih kecintaan mereka terhadap muzik sebelum melangkah jauh di bawah bimbingan maestro muzik, Datuk M. Nasir menerusi Luncai Emas. Penganjuran ini bukan sekadar sebuah persembahan hiburan biasa, sebaliknya merupakan simbolik penghargaan dan kepulangan yang menyatukan semula pemenang Album Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-12 ini dengan akar seni mereka sendiri.

Menurut Pengasas Icon Entertainment Iman Tang, meraikan ulang tahun ke-30 pembabitan Spider sejak 1996 di tanah kelahiran mereka adalah satu momen yang sangat tepat atau ‘Ngam Ho’. Beliau menyifatkan persembahan ini bakal menyingkap babak demi babak perjalanan seni Spider sehingga berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan muzik paling disegani di Malaysia.

Sementara itu, vokalisnya, Tam menyifatkan peluang beraksi dalam skala besar di Johor Bahru sebagai impian yang sekian lama dinantikan. Beliau berharap peminat khususnya di wilayah Selatan dapat merasai sendiri nikmat mendengarkan untaian karya ikonik mereka secara langsung. Antara lagu malar segar yang bakal dipersembahkan termasuklah Aladin, Kacap Terlabik, Nazraku, Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi serta lagu juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 2004, Relaku Pujuk, yang sarat dengan elemen ska, pop rock dan sentuhan lirik satira Allahyarham Loloq.

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan sejarah ini, jualan tiket akan dibuka bermula 26 November 2026 (Khamis) jam 3 petang menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/sengatspider. Tiket ditawarkan mengikut kategori daerah di Johor iaitu RM88 (Pontian), RM128 (Mersing), RM168 (Pasir Gudang), RM188 (Batu Pahat), RM258 (Kota Tinggi), RM288 (Muar) serta kategori eksklusif RM888 (Johor Bahru) bagi sofa couple seat untuk dua orang.