TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Sembilu 2.0 The Last Reunion gegar Stadium Merdeka 16 Januari 2027 dengan skala lebih mega

Susulan sambutan luar biasa terhadap penganjuran konsert terdahulu pada Februari 2026, TJTM Entertainment secara rasmi mengumumkan kemunculan Sembilu 2.0 The Last Reunion Live in Concert yang bakal menggegarkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2027, jam 8.30 malam. Konsert berskala mega ini dianjurkan bagi mengembalikan nostalgia fenomena filem ikonik Sembilu yang pernah mencipta sejarah besar dalam industri hiburan tanah air menerusi gandingan dua bintang legenda iaitu Dato’ Awie dan Erra Fazira.

Mengangkat tema The Last Reunion, penganjuran edisi kedua ini membawa makna yang cukup mendalam sebagai sebuah pertemuan terakhir yang dinanti-nantikan dan mungkin tidak akan berulang lagi. Pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi konsert mencerminkan aspirasi penganjur untuk membawa skala produksi, konsep persembahan serta susunan muzik ke tahap yang lebih tinggi dan eksklusif. Meskipun identiti penuh barisan artis yang terlibat masih dirahsiakan buat masa ini bagi mengekalkan elemen kejutan, peminat dijanjikan rangkaian lagu-lagu malar segar yang menghidupkan kembali momen romantis, persahabatan serta konflik emosi filem tersebut.

Diterajui oleh TJTM Entertainment di bawah naungan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail yang sebelum ini cemerlang mengemudi konsert Sembilu dan 40 Dekad Fauziah Latiff, produksi kali ini menjanjikan kualiti persembahan pentas bertaraf tinggi. Jualan tiket rasmi akan mula dibuka pada 27 November 2026 (Jumaat), tepat jam 12.00 tengah hari menerusi platform www.ilassotickets.com/sembilu2.

Bagi peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini, tiket ditawarkan mengikut kategori ikonik bermula daripada Pasrah (RM309), Cinta Abadi (RM329), Di Penjara Janji (RM359), Setiaku Di Sini (RM409), Di Ambang Wati (RM659), Senja Nan Merah (RM1,019), sehinggalah kategori eksklusif Halaman Asmara pada harga RM1,399. Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi menyaksikan perjalanan nostalgia terunggul ini secara langsung.