TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

UPSI lakar kejayaan di pentas akademik, dua jurnal bolot Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award 2026

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan reputasinya dalam arena penerbitan ilmiah apabila dua jurnal terbitannya menerima Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) 2026. Kejayaan membanggakan itu menyaksikan Malaysian Journal of Music (MJM) merangkul Anugerah Pengiktirafan Jurnal CREME Kategori Scopus bagi bidang Seni, Kemanusiaan dan Sains Sosial, manakala Journal of Science and Mathematics Letters (JSML) memenangi pengiktirafan sama bagi kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan (STEM).

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff memaklumkan bahawa MJM diterajui oleh Ketua Editor, Dr. Wong Huey Yi @ Colleen Wong dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, sementara JSML diketuai oleh Prof Madya ChM. Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi W Salleh dari Fakulti Sains dan Matematik. Kedua-dua jurnal tersebut masing-masing membawa pulang hadiah berupa cek cura bernilai RM6,000 berserta trofi yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim pada majlis penyampaian di Hotel Le Meridien, Putrajaya, dengan turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr. Azlinda Azman.

Menurut Md Amin, pengiktirafan itu membuktikan keupayaan penyelidik UPSI dalam menghasilkan karya ilmiah berkualiti serta berimpak tinggi merentasi pelbagai disiplin ilmu. Beliau menegaskan bahawa universiti akan terus komited memperkukuh ekosistem penyelidikan dan penerbitan akademik melalui sokongan berterusan terhadap pengurusan jurnal serta pembangunan kapasiti sidang editor bagi meningkatkan keterlihatan hasil penyelidikan universiti di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Dr. Wong Huey Yi @ Colleen Wong menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pembakar semangat buat seluruh sidang editor MJM dan Penerbit UPSI untuk memperluas kerjasama akademik antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan jurnal itu di pentas global. Nada sama turut dikongsi oleh Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi W Salleh yang menzahirkan rasa syukur atas kerjasama berpasukan pelbagai pihak dalam memastikan kecemerlangan JSML sentiasa terpelihara.

Untuk rekod, Anugerah MRSA merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menghargai penyelidik tempatan yang menghasilkan penerbitan berimpak tinggi terhadap masyarakat dan pembangunan negara, di samping mengiktiraf jurnal tempatan yang mencatatkan prestasi cemerlang dalam pangkalan data Scopus.