Kucing berwarna jingga atau lebih mesra digelar “oyen” sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada pemandangan harian di kawasan kejiranan Malaysia. Kini, karakter unik yang dekat di hati masyarakat tempatan itu diangkat sebagai simbol kebajikan menerusi kolaborasi antara PropertyGuru Malaysia dan artis jalanan terkenal, Kenji Chai. Bersama-sama, mereka memperkenalkan Oyenji, koleksi Edisi Terhad ‘Kucing Pembawa Tuah’ (Lucky Cat) yang bukan sahaja meraikan budaya bandar tempatan, malah membantu kumpulan penyelamat haiwan mengumpul dana bagi haiwan terbiar yang masih menantikan kediaman kekal.
Inisiatif di bawah program Gurus for Good ini memperluaskan misi PropertyGuru dalam membantu orang ramai mencari kediaman impian kepada usaha melindungi haiwan jalanan. Bagi Kenji Chai, penghasilan Oyenji tercetus daripada pemerhatian dan hubungan rapatnya dengan kehidupan jalanan di Malaysia sepertimana karya ikoniknya, Chaigo, yang diilhamkan daripada anjing terbiar. Menerusi kempen Oyenji Gives Back, PropertyGuru Malaysia telah menyerahkan 25 unit barangan koleksi Oyenji yang ditandatangani oleh Kenji kepada empat kumpulan penyelamat haiwan tempatan, iaitu Lingy Pet Adoption, PAWS Animal Welfare Society, Persatuan Haiwan Kesayangan (Pads & Paws), dan Allergic Rescuers KL.

Menariknya, daripada mengendalikan kutipan dana secara berpusat, PropertyGuru memberi kebebasan penuh kepada keempat-empat organisasi kebajikan dan rangkaian sukarelawan tersebut untuk menguruskan jualan atau bidaan Oyenji di bazar, pasar komuniti, dan acara mencari keluarga angkat mengikut kesesuaian penyokong masing-masing. Keseluruhan 100 peratus dana yang terkumpul akan disalurkan terus kepada kumpulan penyelamat terlibat bagi menampung kos menyelamat, rawatan pemulihan, penjagaan sementara, serta pengurusan populasi haiwan terbiar tanpa sebarang potongan daripada pihak PropertyGuru.
Orang ramai dan pencinta haiwan yang ingin mendapatkan koleksi edisi terhad ini sambil menyumbang kepada kebajikan haiwan boleh mengikuti perkembangan terkini di platform media sosial Lingy Pet Adoption, PAWS Animal Welfare Society, Pads & Paws KL, dan Allergic Rescuers KL untuk mengetahui lokasi acara pengumpulan dana mereka. Kisah di sebalik penghasilan Oyenji serta maklumat lanjut mengenai kempen Oyenji Gives Back juga boleh ditonton menerusi akaun rasmi Instagram, TikTok, dan Facebook PropertyGuru Malaysia.













