Peminat muzik Indonesia bakal menikmati malam penuh emosi apabila Juicy Luicy kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur pada 16 Januari 2027.
Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, konsert anjuran AM.entertainment itu menjanjikan persembahan istimewa dengan himpunan lagu yang sinonim dengan kisah cinta, kerinduan dan pengalaman kehidupan.
Ditubuhkan di Bandung, Indonesia pada 2010, Juicy Luicy menggabungkan elemen pop dan R&B dalam muzik mereka. Kumpulan yang dianggotai lima anggota ini terdiri daripada Julian Kaisar, Denis Ligia, Zamzam Y.M, Bina Bagja dan Eggy Ramandha.

Antara lagu popular mereka yang dekat dengan pendengar termasuk Lantas, Tampar, Sialan, Tanpa Tergesa dan Lampu Kuning.
Vokalisnya, Julian Kaisar, berkata kumpulan itu sentiasa menghargai sokongan peminat Malaysia sejak kemunculan pertama mereka di negara ini pada 2023.
Menurutnya, mereka tidak sabar untuk kembali bertemu peminat dan berkongsi pengalaman muzik yang lebih bermakna menerusi konsert kali ini.
Bagi yang ingin menyaksikan persembahan tersebut, tiket ditawarkan pada harga bermula RM148 sehingga RM2,300 bagi VIP Box.

Jualan tiket akan dibuka pada 6 November 2026 menerusi platform Ticket2U.
Jadi, peminat Juicy Luicy bolehlah bersedia untuk menyanyikan lagu kegemaran bersama-sama dan mengimbau kembali kisah yang pernah tersimpan dalam setiap melodi.













