Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melabuhkan tirai Kempen Anti-Buli ‘Berani Tegur, Berani Bertindak’ 2026 menerusi Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Permai, Puchong, pada 23 Oktober 2026.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah 2, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Tuan Haji Azman Mahsuri.
Kempen yang berlangsung dari April hingga Oktober 2026 itu merupakan usaha Gardenia bersama KPM untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu buli dalam kalangan warga sekolah, selain menggalakkan murid supaya lebih berani bersuara, menegur dan mengambil tindakan apabila berhadapan atau menyaksikan kejadian buli.
Sepanjang pelaksanaannya, kempen tersebut berjaya melibatkan lebih 51,000 murid dan 4,000 guru daripada 40 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Penyertaan yang menggalakkan itu memperlihatkan kepentingan kerjasama antara sektor korporat dan institusi pendidikan dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, positif serta harmoni.
Bagi memastikan mesej pencegahan buli dapat disampaikan secara menyeluruh, kempen berkenaan dilaksanakan melalui tiga komponen utama yang menggabungkan pendidikan, kreativiti dan penglibatan media sosial.
Komponen pertama ialah Jelajah Sekolah yang membawa pasukan Gardenia ke beberapa lokasi merentasi Zon Tengah, Utara, Selatan dan Pantai Timur.
Menerusi program tersebut, murid diberikan pendedahan mengenai kesan negatif buli melalui ceramah kesedaran, aktiviti interaktif yang menerapkan nilai murni serta penyebaran bahan pendidikan seperti poster dan infografik anti-buli.
Gardenia turut mengagihkan lebih 12,000 produk kepada murid di sekolah yang terlibat sepanjang program jelajah berkenaan.
Selain aktiviti kesedaran secara langsung, kempen ini turut mengetengahkan Pertandingan Video Kreatif yang memberi peluang kepada murid menghasilkan video pendek bertemakan ‘Berani Tegur, Berani Bertindak’.
Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, dengan penilaian berdasarkan kreativiti, keberkesanan penyampaian mesej, impak kepada penonton serta kualiti keseluruhan video.
Bagi kategori Sekolah Rendah, SK Lanchang, Pahang muncul sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.
Tempat kedua dimenangi oleh SJK(C) Kuang Hwa dengan hadiah RM1,500, manakala SK Bukit Wan meraih tempat ketiga dan menerima RM1,000.
SK Balok Makmur dan SK Kemahang masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima dengan hadiah RM500 setiap sekolah.
Sementara itu, SK (LKTP) Bukit Sagu menerima Anugerah Video Paling Kreatif bagi kategori Sekolah Rendah berserta hadiah wang tunai RM500.
Dalam kategori Sekolah Menengah pula, SMK Tinggi Kajang dinobatkan sebagai juara dengan hadiah wang tunai RM2,000.
SMK Puchong Permai meraih tempat kedua dan membawa pulang RM1,500, diikuti SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di tempat ketiga dengan hadiah RM1,000.
Tempat keempat dan kelima masing-masing dimenangi oleh SMK Kemayan dan SMK Bukit Rangit, dengan kedua-dua sekolah menerima hadiah wang tunai RM500.
SMK Puchong Permai turut mencatat pencapaian membanggakan apabila memenangi Anugerah Video Paling Kreatif bagi kategori Sekolah Menengah, sekali gus menerima hadiah tambahan RM500.
Komponen ketiga kempen ini ialah Pertandingan Kesedaran di Media Sosial yang menggalakkan warga sekolah menyebarkan mesej anti-buli melalui platform digital masing-masing.
Peserta menggunakan tanda pagar rasmi #BeraniTegurBeraniBertindak dan #GardeniaAntiBuli bagi memperluaskan penyampaian mesej kesedaran kepada masyarakat.
SMK King George V, Seremban muncul sebagai pemenang pertandingan tersebut selepas mencatatkan jumlah interaksi tertinggi sebanyak 144,089, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Majlis penyampaian hadiah di SMK Puchong Permai melibatkan sekolah-sekolah dari Selangor, manakala satu lagi majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung di Pahang.
Melalui pelaksanaan kempen ini, Gardenia dan KPM berusaha memupuk nilai keberanian, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan murid supaya mereka tidak berdiam diri apabila menyaksikan perlakuan buli.
Inisiatif tersebut juga memberi penekanan terhadap peranan seluruh warga sekolah dalam mewujudkan budaya saling menghormati serta menggalakkan tindakan yang sewajarnya bagi menangani insiden buli.
Gardenia berharap mesej ‘Berani Tegur, Berani Bertindak’ akan terus diamalkan walaupun kempen tahun ini telah berakhir, sekali gus membantu membentuk persekitaran sekolah yang lebih selamat dan harmoni.
Kerjasama berterusan antara pihak sekolah, guru, murid, ibu bapa dan organisasi korporat dilihat sebagai antara usaha penting dalam memperkukuh kesedaran serta pencegahan buli dalam komuniti pendidikan negara.













