TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Filem Bisikan Tampilkan Double Horror, Gabungkan Seram Mistik dan Ketakutan Realiti

Filem seram thriller tempatan, Bisikan, tampil dengan pendekatan berbeza menerusi konsep ‘double horror’ yang menggabungkan elemen mistik dan ketakutan terhadap realiti kehidupan manusia.

Terbitan D’Alpha Legacy Production dan arahan Opie Zami, filem ini mengajak penonton menyelami ketakutan, misteri serta rahsia tersembunyi di sebalik sebuah keluarga.

Menampilkan Iman Zulkarnain, Azhan Rani, Vanida Imran, Fatin Afeefa, Altimet dan Puteri Rayyana, Bisikan bukan sekadar mengetengahkan gangguan mistik, malah membawa persoalan tentang luka emosi, kehilangan, kasih sayang dan rahsia yang disimpan manusia.

Penerbitnya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, berkata konsep ‘double horror’ diperkenalkan bagi memberikan pengalaman berbeza kepada penonton melalui gabungan ketakutan terhadap perkara yang tidak dapat dijelaskan dan realiti kehidupan yang kadangkala lebih mengerikan.

Menurut beliau, idea menghasilkan filem tersebut turut dipengaruhi pengalamannya sebagai bekas Timbalan Pendakwa Raya dan Majistret yang pernah berdepan pelbagai kisah kehidupan manusia.

Pengalaman menyaksikan pelbagai kes dan memahami latar belakang kehidupan individu membuatkannya tertarik untuk meneroka persoalan tentang sebab manusia melakukan sesuatu perkara serta bagaimana pengalaman pahit boleh mempengaruhi kehidupan mereka.

Justeru, ungkapan ‘Luka Yang Berbisik’ dipilih sebagai sebahagian daripada identiti filem berkenaan, menggambarkan kesakitan yang mungkin tidak ditunjukkan kepada orang lain tetapi terus mempengaruhi kehidupan seseorang.

Bagaimanapun, perjalanan menghasilkan Bisikan bukan mudah apabila filem itu mengambil masa enam tahun untuk disiapkan selepas berdepan pelbagai cabaran, termasuk pandemik COVID-19, masalah aset imej janaan komputer (CGI) dan kekangan dana pasca produksi.

Penggambaran yang berlangsung di sebuah rumah di Kuantan selesai pada 9 Ogos 2020. Namun, proses menyiapkan filem tersebut tertangguh apabila pasukan produksi berdepan masalah kewangan dan teknikal.

Menurut Nur A’minahtul Mardiah, filem berkenaan menggunakan kira-kira 80 peratus elemen CGI, sekali gus menjadikan proses pasca produksi antara cabaran terbesar yang perlu dihadapinya.

Pihak produksi kemudian menerima dana pasca produksi berjumlah RM300,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi membantu meneruskan usaha menyiapkan filem itu.

Beliau turut berkongsi bahawa pelbagai ujian sepanjang tempoh tersebut mengajarnya untuk terus bertahan dan tidak mudah berputus asa dalam merealisasikan impian menghasilkan filem pertamanya.

Bisikan dijadualkan menemui penonton di 70 pawagam seluruh Malaysia bermula 19 November 2026.

Poster rasmi filem itu telah dimuat naik di platform media sosial D’Alpha Movie pada 7 Oktober, manakala trailer rasmi menyusul pada 14 Oktober.

Selain membuat penampilan khas, Altimet turut menyumbangkan lagu runut bunyi rasmi berjudul Hujan, yang dinyanyikan secara duet bersama Mimi Fly.