TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

KIC Pacu Ekonomi Perak Menerusi Peluasan Kapasiti Industri

Pembangunan strategik Kerian Industrial City bakal meluaskan kapasiti perindustrian di Wilayah Utara Perak

Kerian Industrial City Pemangkin Ekonomi Perak

Pembangunan Kerian Industrial City (KIC) di Dennistown bakal memacu daerah Kerian ke tahap ekonomi yang lebih dinamik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM700 juta. Berkeluasan 287 ekar, KIC bukan sahaja meluaskan kapasiti perindustrian sedia ada di Wilayah Utara Perak, malah dijangka mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan baharu. Projek strategik yang kini telah melengkapkan proses pengambilan tanah serta mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) ini bakal membuka ruang luas kepada pelabur, pengusaha industri, dan penyedia perkhidmatan sokongan untuk mengembangkan operasi seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Kerian Industrial City Sokong Aspirasi Perak Sejahtera

Selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa KIC merupakan pemangkin penting untuk Kerian beralih daripada sektor pertanian kepada industri bernilai tinggi. Pembangunan ini dirancang secara teliti agar KIC dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dapat memainkan peranan yang saling melengkapi bagi membentuk ekosistem perindustrian yang lebih bersepadu. Sokongan terhadap perusahaan tempatan turut menjadi keutamaan, di mana projek ini akan membuka peluang kepada vendor, pembekal, dan kontraktor tempatan untuk menyertai rantaian bekalan industri secara berterusan agar manfaat ekonominya dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.

Menteri Besar Perak meninjau model pembangunan Kerian Industrial City bersama barisan pengurusan perindustrian

Infrastruktur Logistik Kerian Industrial City

Potensi KIC turut diperkukuh oleh kedudukannya yang strategik berhampiran institusi pendidikan utama seperti Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Kemahiran Tinggi PERDA, yang membuka peluang jalinan kerjasama industri dalam penghasilan tenaga mahir tempatan. Ekosistem perindustrian ini disokong lagi dengan perancangan jajaran jalan baharu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang akan menghubungkan susur keluar Tol Bandar Baharu terus ke KIGIP bagi melancarkan pergerakan logistik. Kesalinghubungan infrastruktur yang cekap ini secara langsung meletakkan KIC sebaris dengan rangkaian pembangunan ekonomi utama Perak seperti AHTV, LuMIC, dan SVTP, sekaligus memperkasakan landskap pelaburan negeri secara komprehensif.