TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Nafas Baharu Untuk “Ratnaku”: Tip Band Tarik Perhatian Peminat, Persembah Karya Klasik M. Nasir

Kumpulan muzik baharu yang sedang meningkat naik, TIP Band, kembali mencuri tumpuan arena seni tempatan apabila tampil mempertaruhkan single baharu berjudul “Ratnaku”, sebuah rakaman semula karya malar segar ciptaan legenda seni Dato’ M. Nasir dengan lirik oleh Nurbisa serta diterbitkan di bawah naungan Luncai Emas Sdn Bhd. Lagu ikonik yang pernah popular menerusi nyanyian asal Roy ini kini diserlahkan dengan vokal bertenaga oleh vokalis utamanya, Dai Fuad, yang juga dikenali menerusi siri popular Good Boys To The Heaven dan filem Kudrat 1968: High Council bersama anggota kumpulan lain iaitu Muhammad Shahrizan, Wan Nuo, Akram Fadli, Shanaris Rashid, dan Katie. Diperkayakan dengan elemen Alternative Pop moden tanpa menghilangkan magis asal, projek istimewa ini turut mendapat sentuhan magis penerbit muzik berpengalaman, Adi Priyo dari kumpulan Sixth Sense.

Pelancaran versi baharu ini diadakan bersempena meraikan karya agung Dato’ M. Nasir menerusi konsert Magnum Opus M. Nasir Dekad Ke-5 yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini di Panggung Sari, Istana Budaya. Menurut Adi Priyo, susunan muzik baharu ini dihasilkan bagi membawa pendengar merentas perjalanan jiwa yang segar sambil mengekalkan keindahan asal lagu tersebut, manakala Dai Fuad menyifatkan usaha ini sebagai satu penghormatan besar buat kumpulan mereka dalam memberi interpretasi yang lebih garang namun kekal menghormati karya asal. Pihak Luncai Emas turut menaruh harapan agar kehadiran “Ratnaku” versi moden ini mampu memikat hati generasi pendengar muda serta terus bersemayam di jiwa peminat muzik tanah air.

Sebagai melengkapkan kemunculan semula karya ini, sebuah muzik video menarik hasil arahan Projek Niskalar dengan idea asal oleh Adi Priyo turut diterbitkan, menampilkan jalan cerita sarat emosi lakonan ahli TIP Band sendiri. Lagu “Ratnaku” kini sudah boleh mula didengari di semua platform penstriman muzik digital utama, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Luncai Emas sebagai teman penghayatan bagi mereka yang mengerti erti rindu dan kehilangan.