TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

RIM Memperjelaskan Isu Royalti & Ketelusan Bagi Pembayaran Tertakluk Penggunaan Sebenar dan Pendaftaran CMO

Potret rasmi wakil pengurusan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) memakai sut tuksedo berlatarkan warna merah

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memperjelas dakwaan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) berhubung isu pembayaran royalti dan akauntabiliti dalam industri hiburan tanah air.

RIM menegaskan bahawa industri muzik tempatan kini mencatat rekod kutipan tertinggi daripada platform digital dan Badan Pengurusan Kolektif (CMO), sekali gus menepis tanggapan wujud kepincangan sistem secara menyeluruh.

Menurut RIM, kadar pendapatan royalti seseorang pencipta atau pemuzik amat bergantung kepada perjanjian kontrak, hak diamanahkan serta jumlah penstriman sebenar. Karya yang mencatat penstriman tinggi secara automatik menjana pulangan lebih besar berbanding karya yang kurang dimainkan. Oleh itu, situasi artis yang menerima pendapatan rendah tidak wajar disifatkan sebagai kegagalan sistem kutipan menyeluruh.

RIM turut menggesa KARYAWAN mengenal pasti pihak khusus yang bertanggungjawab sama ada syarikat rakaman, penerbit muzik atau CMO sebelum membuat sebarang kenyataan umum. Langkah ini penting bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai serta persepsi negatif pembuat dasar terhadap tadbir urus industri muzik.

Dari sudut ketelusan, RIM menjelaskan bahawa laporan royalti terperinci sehingga nilai satu sen telah dibekalkan kepada ahli setiap kali pembayaran dibuat. Penggiat seni diseru menyemak penyata dengan badan berkaitan mengikut skop hak cipta yang diwakili, iaitu MACP untuk pencipta lagu, PPM bagi pemilik rakaman serta RPM untuk pelaku persembahan. Kerjasama yang rasional semua pihak amat diperlukan demi melindungi hak penggiat seni.