TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Gabung Rentak Luar dan Tempatan: Kolaborasi Bawa Kuala Lumpur Ska Syndicate Lebih Jauh

Kolektif muzik Kuala Lumpur Ska Syndicate beraksi membuat persembahan langsung di pentas disinari lampu sorot kuning

KUALA LUMPUR – Kolektif muzik Kuala Lumpur Ska Syndicate, yang diasaskan oleh GuaPunya Muzik pada tahun 2024, kini melangkah ke fasa baharu yang lebih agresif dalam memartabatkan muzik ska tempatan menerusi karya asli, persembahan langsung, dan kolaborasi strategik.

Selepas melancarkan kompilasi demo Jika Kita Ada Ska! pada Oktober 2025, impak mereka kian meluas menerusi projek The Raya Syndicate menerusi lagu Kita Di Aidilfitri bersama Leaism yang berjaya menembusi corong radio di Malaysia dan Singapura.

Bermula Ogos 2026, kolektif ini memperhebat kehadiran pentas menerusi penganjuran Jelajah Lima Lokasi yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak sehingga 17 Oktober 2026 di Ska Picnic, Santubong. Siri jelajah ini mendapat sokongan penuh MyCreative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi menerusi inisiatif DKK 2025. Selain siri jelajah tersebut, mereka turut menggegarkan pentas festival berprestij, Atas Angin Ska Fest 2026 di Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2026.

Kini diperkuatkan oleh barisan pemuzik semasa iaitu Shah Hafiz (dram), Nano (keyboard), Alip (gitar), Arab (gitar), GFath (bass), Raziq (vokal/saksofon), dan Izgastro (trompet/vokal), mereka mengekalkan momentum bertenaga di setiap lokasi persinggahan. Sejurus selesai siri jelajah, Kuala Lumpur Ska Syndicate akan kembali ke studio bagi merakamkan projek single memuatkan dua buah lagu baharu hasil kerjasama antara GuaPunya Muzik dan Life Records Malaysia Sdn. Bhd., sekali gus memperkukuh misi membawa irama ska tanah air ke peringkat antarabangsa.